Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chua dakwa projek AES mungkin boleh dikaitkan dengan Anwar.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa bahawa bekas ADUN Umno Johor yang syarikat anaknya telah dianugerahkan projek kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), adalah sangat rapat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden MCA semalam, Chua mendakwa, malah Anwar sering mengunjungi rumah bekas ADUN tersebut apabila dia (Anwar) pergi ke sana (kawasan pilihan raya bekas ADUN berkenaan).

Chua yang juga bekas ahli exco kerajaan Johor selama empat penggal mendakwa pemberian projek AES itu mungkin boleh dikaitkan dengan Anwar.

Ahli jawatankuasa pusat PKR, Chang Lih Khang mendakwa baru-baru ini bahawa Pengarah Beta Tegap Sdn Bhd, Rozana Redzuan, yang juga pemegang saham terbesar, adalah anak perempuan sulung bekas ADUN Peserai, Tan Sri Datuk Redzuan Salim dan bekas ADUN Sri Medan, Atkah Abdullah.

Syarikat dan ATES Sdn Bhd telah dianugerahkan projek AES oleh kerajaan, yang akan memasang kamera canggih di 1,300 lokasi di seluruh negara.

Chang juga mendakwa bahawa sepupu Rozana juga seorang ADUN di Johor.

Anwar, bekas timbalan perdana menteri, telah dipecat pada 1998 dan kemudiannya dipenjarakan atas tuduhan liwat. Beliau dibebaskan pada tahun 2004, selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan terhadapnya.

Chua (kanan) juga menolak tuduhan pembangkang bahawa kerajaan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha telah mengamalkan kronisme.

"Saya tidak tahu bagaimana anda mendefinasikan kronisme. Umno mempunyai kira-kira 3.5 juta ahli dan MCA kini mempunyai kira-kira 1.1 juta ahli.

"Jadi, apa jua projek yang mereka lakukan, ada antara orang-orang ini akan mendapatnya dan itu tidak bermakna kronisme," katanya.

Beliau juga berkata perbincangan mengenai projek AES bermula pada tahun 2005 dan masih berterusan pada hari ini, "jadi ini adalah sebahagian daripada 'spinning' politik yang terus diamalkan oleh Pakatan Rakyat".

[Baca berita penuh]

ADS