Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ditangguh hari ini setelah meluluskan Belanjawan negeri 2013.

Belanjawan berjumlah RM1.133 bilion itu bertemakan 'Agenda Ekonomi Saksama' yang bermatlamat mensejahterakan kebajikan rakyat serta membasmi kemiskinan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata untuk membasmi kemiskinan di negeri ini, kerajaan negeri akan menilai pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM770 sebulan.

Persidangan kali ini turut meluluskan rang undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012, bertujuan membanteras amalan melompat parti.

Rang undang-undang itu memperuntuk seseorang anggota dewan yang telah dipilih sebagai calon sesebuah parti politik hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi anggota parti politik berkenaan atas apa-apa juga sebab.

Persidangan DUN kali ini juga menyaksikan Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) digantung kali kedua daripada menghadiri persidangan DUN selama enam bulan.

Keputusan penggantungan itu dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, setelah Azhar gagal memberi penerangan dan penjelasan mengenai kenyataannya pada 8 Mei lepas yang menghina kemuliaan dewan, Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain dan petugas DUN apabila menyebut bahawa catatan persidangan (verbatim) boleh dimanipulasi.

Persidangan DUN ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian.

-Bernama

ADS