Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) mengumumkan anak bekas perdana menteri Datuk Mirzan Mahathir sebagai penerima Anugerah Usahawan Malaysia 2012 anjurannya.

Presiden DPMMKL Datuk Syed Amin Aljeffri mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

NONE Katanya, pemilihan Mirzan merupakan satu proses yang "sangat subjektif" memandangkan keusahawanan merupakan "satu seni dan bukannya satu bentuk sains".

Bapa Mirzan, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan felo utama DPMMKL.

Syed Amin menjelaskan bahawa para juri menilai pertubuhan perniagaan setiap calon, penggunaan tenaga Malaysia yang efektif, inovasi teknologi dan sumbangan dari segi tanggungjawab sosial korporat.

Beliau turut memuji Mirzan terutamanya atas kejayaan usahawan tersebut dalam pengambilalihan syarikat Esso di Malaysia.

Ditemui Malaysiakini selepas itu, Syed Amin berkata beliau berpuas hati dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung peruntukan 43 peratus daripada projek MRT kepada kontraktor bumiputera.

Syed Amin berkata, para kontraktor perlu pandai mengambil peluang dalam projek berjumlah RM9 bilion yang diperuntukkan itu, seperti diumumkan Najib pada 28 September lalu.

"Dewan Perniagaan Melayu kebanyakannya berkecimpung dalam industri kontraktor. (Jumlah) 43 peratus itu peluang yang besar dan (kami) berpuas hati.

"Mereka (kontraktor) perlu pandai ambil peluang itu," katanya selepas mengumumkan penerima Anugerah Usahawan Malaysia 2012.

Majlis anugerah yang akan turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong itu akan berlangsung pada 30 November.

ADS