Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Agensi boleh gulung tikar jika kos ambil amah RM4,511'

Agensi-agensi pembekal pembantu rumah Indonesia di negara ini bakal berdepan dengan risiko gulung tikar jika kos pengambilan tenaga kerja itu dikekalkan pada harga RM4,511 seperti dipersetujui Malaysia dan Indonesia.

    

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP) Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata PIKAP tidak bersetuju dengan harga itu memandangkan kos sebenar bagi membawa masuk seorang pembantu rumah adalah jauh lebih tinggi.

    

"Berdasarkan kos RM4,511 yang dipersetujui, majikan membayar RM2,711 manakala RM1,800 dibayar pembantu rumah yang akan dipotong majikan daripada gaji sebanyak RM300 selama enam bulan.

    

"Jumlah itu tidak mengambil kira kos ditanggung agensi sebagai perantaraan yang perlu membayar Pihak Tempatan Indonesia (PT) untuk mencari wanita negara itu yang mahu menjadi pembantu rumah di mana agensi tidak mempunyai kuasa untuk tawar-menawar harga ditetapkan," katanya kepada Bernama .

    

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah yang sepatutnya dibayar majikan.

Raja Zulkepley mengulas dakwaan Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) yang mempersoalkan permintaan PIKAP kepada kerajaan supaya harga itu dikaji semula atas alasan ia terlalu rendah.  

    

Beliau berkata PIKAP tidak pernah dipanggil berbincang dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sebelum protokol meminda Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006 dipersetujui pada 30 Mei 2011.

    

Berdasarkan MoU itu, kedua-dua negara bersetuju untuk memperkemaskan peruntukan terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan pekerja dan majikan seperti kos pengambilan pembantu rumah pada RM4,511, pembantu rumah diberi satu hari cuti setiap minggu dan dibenarkan memegang pasport sendiri.

    

Raja Zulkepley berkata banyak agensi pembekal pembantu rumah mengeluh sukar mendapatkan tenaga kerja daripada PT, yang kini lebih gemar menghantar pembantu rumah ke Singapura, Taiwan dan Hong Kong yang sedia membayar harga tinggi bagi pengambilan pembantu rumah.

    

"Justeru, PIKAP bersedia untuk berbincang dengan kerajaan supaya harga dapat dipertimbangkan semula kepada jumlah yang lebih munasabah bagi memastikan pengambilan pembantu rumah Indonesia dapat diteruskan," katanya.

    

Raja Zulkepley berkata majikan yang berminat mendapatkan pembantu rumah tidak sepatutnya mengeluh dengan peningkatan harga kerana perkhidmatan itu sebenarnya ditawarkan kepada mereka yang mampu sahaja.

    

"Kita kena ukur baju di badan sendiri. Mereka perlu mencari alternatif lain seperti menghantar anak ke pusat jagaan atau meminta bantuan keluarga sekiranya merasakan kos yang dikenakan mahal," katanya.

     

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan mereka membayar antara RM13,000 hingga RM16,000 bagi mendapatkan pembantu rumah kerana semua 220 agensi di bawah PIKAP masih mematuhi harga RM4,511 yang ditetapkan.

    

Menurutnya harga belasan ribu ringgit itu berkemungkinan bagi bayaran Visa Journey Perform (JP) yang diuruskan oleh ejen atau orang perseorangan.

    

"PIKAP telah lama memohon supaya visa JP dihapuskan kerana pelbagai masalah timbul terutamanya dalam soal kebajikan pembantu rumah kerana mereka tidak dilindungi insurans, menghadapi masalah dokumen dan tidak menerima latihan 200 jam seperti dalam MoU.

    

"Majikan juga mempunyai masalah jika pembantu rumah tidak dapat melakukan tugas dengan baik atau melarikan diri kerana tiada jaminan daripada agensi," katanya.

    

Menurutnya pengeluaran visa  JP juga boleh membawa kepada isu pemerdagangan manusia oleh ejen tidak bertanggungjawab.

    

Selain itu, Raja Zulkepley menafikan dakwaan bahawa kerajaan dan PIKAP tidak serius dalam mencari penyelesaian berhubung isu kos memandangkan pihaknya telah tiga kali mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia.

    

"PIKAP bersedia untuk terlibat dalam perbincangan mencari kos yang

sewajarnya memandangkan kita mempunyai ahli-ahli berpengalaman selama 25 hingga 30 tahun dalam mengendalikan agensi pengambilan pembantu rumah," katanya.

    

- Bernama

ADS