Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas lima tuduhan menerima suapan bernilai RM32,400 membabitkan bekalan pakaian seragam ko-kurikulum sekolah pada 2008 dan 2009.

    

Zakaria Md Lazim, 54, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat Alor Setar minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman.

    

Bagi pertuduhan pertama, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR) sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 dan dia didakwa mempunyai kepentingan kerana pemilik ZNR merupakan adiknya sendiri, Ros Adimas Md Lazim.

    

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian PBSM bernilai RM6,300, set pakaian TKRS bernilai RM8,200 dan set pakaian Pengakap bernilai RM8,700.

    

Semua kesalahan itu dituduh dilakukan di SKTB pada November 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (undang-undang Malaysia Akta No.575) dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama.

    

Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 14 hari, maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

    

Bagi pertuduhan kelima Zakaria sekali lagi didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian seragam PBSM, Pengakap, Puteri Islam dan TKRS bernilai RM5,900 di SKTB pada September 2009.

    

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (undang-undang Malaysia Akta No.694) dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

    

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syahrul Khuzaimi Amiruddin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima pertuduhan.

    

Zakaria dalam rayuannya berkata dia mempunyai lima anak (empat bersekolah) selain terpaksa menanggung adik-adiknya yang belum bekerja dan menyara ibunya yang sakit, manakala isterinya merupakan seorang guru.

    

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Disember untuk sebutan semula kes itu.

    

- Bernama

ADS