Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 2.3j permohonan BR1M diterima sehingga 17 Dis

Lebih 2.3 juta permohonan bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 diterima setakat 17 Disember lepas, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

    

Beliau berkata daripada jumlah itu lebih 1.6 juta permohonan adalah daripada individu bujang dan lebih 720,000 permohonan daripada isirumah.

    

Katanya 54 peratus permohonan itu dibuat secara manual manakala selebihnya dibuat secara online.

    

"Kita akan membuat pembayaran pada suku tahun pertama (2013), jadi untuk  pembayaran tersebut, kita minta kepada mereka yang masih belum mendaftar agar mendaftar sebelum 31 Disember kerana permohonan ini perlu diproses supaya mereka dapat bayaran bila kita mula buat pembayaran.

    

"Kalau dia lewat, dia akan dapat lewat.  Mereka boleh daftar secara online atau manual supaya apabila kita buat pembayaran pada suku pertama nanti, yang dah daftar semua akan dapat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan SME Bank di Ipoh hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Husni berkata tarikh tutup permohonan BR1M 2.0 yang bermula 1 November lepas belum ditetapkan.

    

Borang permohonan boleh didapati secara percuma di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan, agensi-agensi kerajaan atau dimuat turun atau diisi secara online melalui laman sesawang LHDNM: www.hasil.gov.my.

    

Katanya bantuan BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan RM3 bilion itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang.

    

Tahun lepas, seramai 4.2 juta penerima mendapat manfaat daripada BR1M,  dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.

    

- Bernama

ADS