Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TIGP: Polis kenalpasti rakan militan Mohd Noor Fikrie
Diterbitkan:  Dec 27, 2012 2:00 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Polis telah mengenal pasti saki-baki anggota kumpulan pengganas yang sama dengan suspek rakyat Malaysia yang ditembak mati di sebuah hotel di Davao, Filipina dua minggu lepas.

    

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang mengumpulkan bukti yang cukup sebelum menangkap anggota lain yang dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas itu.

    

"Aktiviti pengganas merupakan keutamaan kita untuk membendungnya. Kalau ada suspek yang dipercayai terlibat dalam militan memang sudah dalam radar kita dan kita akan mengumpulkan bukti sebelum menangkap mereka," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

    

Beliau mengulas mengenai saki-baki anggota kumpulan pengganas yang sama dengan Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, yang ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel, selepas bergelut dengan pihak polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya.

    

Dalam kes berasingan, Khalid turut memberi peringatan kepada masyarakat supaya tidak terlibat dalam kes penyeludupan serta pengedaran dadah sama ada di dalam atau di luar negara kerana tiap-tiap negara mempunyai peruntukan undang-undang masing-masing bersabit kesalahan tersebut.

    

"Banyak pendedahan serta kesan-kesan negatif yang akan berlaku telah diberikan jika menceburkan diri dalam aktiviti dadah," katanya.

    

Beliau mengulas mengenai empat rakyat Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana cuba menyeludup 44 kilogram dadah syabu dan lebih 2,200 pil ecstasy menerusi Medan dan Dumai di Sumatera dengan menaiki kapal terbang, sebelum ke Jakarta menerusi laluan darat Khamis lepas.

    

Empat rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Abdul Rahim, Hasim, Nasri dan Izwan berusia antara 20 hingga 30 tahun, serta dua lagi rakyat Indonesia berhadapan hukuman ditembak mati jika disabitkan kesalahan.

    

- Bernama

ADS