Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: 4 prinsip jamin harga kelapa sawit, getah stabil
Diterbitkan:  Jan 3, 2013 1:40 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

PKR mengambil pendirian bahawa masalah kejatuhan harga komoditi kelapa sawit dan getah adalah masalah nasional yang memerlukan tumpuan segera.

NONE "Satu perancangan khusus dan praktikal bagi tempoh jangka masa pendek, sederhana dan panjang perlu dilaksanakan segera bagi menjamin kestabilan harga komoditi utama negara," kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, secara amnya, PKR menggariskan prinsip sebagai asas program penstabilan harga dan jaminan kebajikan yang boleh dilaksanakan apabila Pakatan Rakyat berkuasa kelak:

1. Satu Tabung Kebajikan Komoditi Negara wajar ditubuhkan dengan sumbangan asas sebanyak RM100 juta setahun oleh Kerajaan Persekutuan.

Tabung ini, menurut Anwar, bertindak sebagai skim jaringan sosial (dalam bentuk pinjaman mudah, takaful perlindungan, bantuan pendidikan dan lain-lain) untuk membantu keluarga yang ekonominya bergantung kepada komoditi utama apabila harga komoditi mula jatuh di bawah paras minima yang ditetapkan dari setahun ke setahun.

2. Kerajaan Persekutuan wajib bekerjasama erat dengan industri perladangan bagi mencari jalan menyelesaikan fenomena pergantungan kepada pekerja Indonesia yang memberi kesan besar kepada kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar kelapa sawit utama dunia.

Katanya, kadar upah yang semakin lumayan di Indonesia menimbulkan kesukaran kepada industri perladangan Malaysia untuk terus bersaing dengan pesaing Indonesia.

3.Kerajaan Pakatan akan merombak semula sistem permit eksport yang memberi keuntungan berganda kepada sesetengah pihak dan menjejaskan harga keluaran kelapa sawit negara.

Menurut Anwar, matlamat utama sebarang sistem permit atau cukai melibatkan keluaran kelapa sawit negara adalah menjamin kestabilan harga dan merancakkan industri hiliran berteknologi tinggi di Malaysia; dan

4. Hubungan diplomatik dan persaudaraan dengan kerajaan dan rakyat Indonesia perlu diperkukuhkan kerana Indonesia merupakan pengeluar kelapa sawit terbesar di dunia.

palm oil palm kelapa sawit 201107 Hubungan dengan kerajaan dan rakyat Indonesia, yang menurut Anwar, retak di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, menyukarkan sebarang usaha pelarasan dan kerjasama untuk berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran komoditi dunia.

PKR juga, tegas Anwar telah memohon Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengetuai satu pasukan khas merangka program-program terperinci, berdasarkan asas-asas yang digariskan itu, yang boleh dilaksanakan sejurus selepas Pakatan berkuasa untuk menjamin kestabilan harga komoditi dan kebajikan rakyat.

"Kepakaran Tan Sri Khalid yang pernah menerajui gergasi perladangan negara iaitu Guthrie, sudah tentu akan menyumbang kepada fokus PKR untuk menyelesaikan masalah kejatuhan harga komoditi berpanjangan yang diabaikan oleh pentadbiran sedia ada," katanya.

ADS