Harga saham Boustead Holdings Bhd di Bursa Malaysia susut hari ini walaupun ia mengumumkan mengenai pengambilalihan Astacanggih Sdn Bhd.

Pada akhir sesi dagangan pagi, harga saham syarikat itu susut tiga sen kepada RM4.99, dengan 531,400 saham diurusniagakan.

Boustead berkata ekonomi yang menguntungkan dari segi kos boleh dicapai menerusi penggabungan 80.9371 hektar tanah pembangunan di Bukit Raja dengan kawasan bersebelahan seluas 283.28 hektar milik Jendela Hikmat Sdn Bhd.

Boustead Group dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera bersama-sama menguasai 60 peratus kepentingan dalam Jendela Hikmat.

Boustead berkata pengambilalihan tanah pembangunan itu akan menjana kos pembangunan sebanyak 25 peratus menerusi pelaburan berjumlah RM160 juta.

-Bernama