Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Tahun 2012 adalah satu tahun yang produktif untuk Kerajaan Negeri Selangor dan saya serta barisan pimpinan kerajaan mulakan tahun baru 2013 dengan azam untuk menggandakan usaha dalam memberi perkhidmatan pada rakyat.

Namun amat menyedihkan Timbalan Perdana Menteri telah memulakan tahun baru ini dengan terus membuat tohmahan politik dengan mendakwa rakyat Selangor telah empat tahun diperdaya Pakatan Rakyat.

NONE Hakikatnya, rakyat Selangor dan Malaysia yang telah 55 tahun diperdaya Barisan Nasional.

Artikel ini berhasrat menunjukkan bukti kukuh berkenaan keutamaan yang diberi oleh Pakatan Rakyat khususnya kerajaan negeri Selangor kepada kebajikan rakyat serta komitmen kami untuk mengamalkan tadbirurus beramanah.

Kami yakin bukan sahaja di Selangor bawah Barisan Nasional dahulu tetapi di mana-mana negeri bawah naungan Barisan Nasional sekarang, bukti sebegini tidak mungkin dibentangkan.

Dari segi pengurusan dan kedudukan kewangan serta peruntukan untuk program kebajikan, kerajaan Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat jauh mendahului negeri-negeri bawah Barisan Nasional mahupun kerajaan persekutuan sendiri.

Kedudukan Kewangan

Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Selangor pada tahun 2008, rizab tunai negeri hanya berjumlah RM760 juta.

NONE Dalam masa singkat empat tahun, kerajaan Pakatan Rakyat telah berjaya meningkatkan jumlah ini lebih tiga kali ganda ke RM2.5 bilion.

Adakah ini hasil pengurangan perbelanjaan pembangunan?

Semestinya tidak. Sebaliknya, perbelanjaan untuk program-program kebajikan rakyat ditingkatkan setiap tahun, bukan diturunkan.

Kelebihan dana tercapai bukannya melalui pengurangan perbelanjaan, tetapi dengan penghapusan ketirisan dan gejala rasuah yang sebelumnya amat berleluasa.

Saya amat tegas dalam memastikan setiap sen duit rakyat diurus dengan rapi dan dibelanja secara beramanah. Justeru itu, hasil negeri berjaya dikongsi secara sama rata kepada semua rakyat Selangor, tanpa mengira bangsa, agama atau pendirian politik.  

Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)  

 

Program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor mencerminkan dasar asas kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang menegaskan bahawa segala hasil negeri harus disalurkan terus kepada rakyat, tanpa sebarang ketirisan dan tanpa “untung” yang bukan-bukan kepada pihak berkepentingan.

Rekod yang disimpan berkenaan perbelanjaan program MES merupakan bukti keprihatinan kerajaan negeri yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat memulakan program MES sebaik sahaja mengambil alih pada tahun 2008.

selangor GDP 2010 data by state Pada tahun itu, jumlah peruntukan adalah RM73 juta. Jumlah ini meningkat secara berterusan setiap tahun: RM161 juta (2009), RM173 juta (2010), dan RM192 juta (2011).

Untuk 2012 sehingga September, peruntukan adalah RM 165 juta dan jumlah keseluruhan yang dibelanja demi kebajikan rakyat melalui program MES dalam empat tahun ini adalah RM 766 juta.

Sebanyak empat program telah berjalan secara berterusan sejak 2008 - 20 meter padu air percuma, Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mesra Usia Emas dan Tabung Pendidikan Anak-Anak.

Setiap tahun, program-program MES baru diperkenalkan. Program-program ini tidak mengambil pendekatan seperti dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional, yang menabur gula-gula berupa duit dan barangan secara buta dengan tujuan membeli undi.

 

Sebaliknya, asas MES adalah pemerkasaan dan pemberdayaan lestari, di mana rakyat diberi modal, latihan dan pertolongan supaya mampu dan sedia berhadapan dengan segala cabaran ekonomi secara berdikari.

Jumlah rakyat yang menerima bantuan MES juga telah meningkat secara konsisten sejak 2008 - 1.10 juta orang (2008), 1.19 juta orang (2009), 1.25 juta orang (2010), 1.30 juta orang (2011) dan 1.34 juta orang (2012, sehingga September).

Bukti terperinci komitmen kerajaan negeri Pakatan Rakyat terhadap kebajikan rakyat boleh dilihat dalam lamanweb rasmi.

 

Fokus kepada rakyat, bukan mainan politik

 

Maka, dengan bukti yang dikemukan di atas, jelas ternampak bahawa komen-komen Timbalan Perdana Menteri adalah komen pemimpin Umno yang kian terdesak sehingga tanpa segan silu sanggup membuat pembohongan secara terbuka kepada rakyat.

Saya ingin bertanya kepada beliau apa yang beliau telah lakukan sebagai Menteri Besar Johor ketika pemberian kontrak secara monopoli kepada Syed Bukhari? Bagaimana pula ketika rakyat Johor dipaksa membayar tarif air di antara tertinggi di Malaysia?

NONE Sekarang di peringkat persekutuan, bilakah beliau akan berhenti berdolak dalih tentang isu pengembalian kawalan industri air kepada kerajaan negeri sepertimana yang diniatkan dalam Akta WSIA 2006 – satu proses yang dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sendiri.

Timbalan Perdana Menteri sepatutnya berfikir dua kali sebelum membuat tohmahan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Kerajaan Barisan Nasional membentangkan belanjawan defisit bagi tahun 2013. Meskipun demikian, memandangkan PRU13 begitu hampir, maka ianya penuh dengan gula-gula pilihan raya. Lebih teruk lagi hutang Negara pula melebihi RM 500 billion.

Sebaliknya Selangor berjaya membentangkan belanjawan berimbang lima tahun berturut-turut dan lebih menekankan pelaburan jangka masa panjang demi kebaikan rakyat.

Ini mencerminkan prinsip kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang enggan menggadai masa depan generasi akan datang hanya untuk menang pilihanraya melalui kaedah-kaedah yang tidak halal.

Saya seru berhenti membuat fitnah terhadap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor dan bertanding dengan berhemah. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi Umno Selangor telah gagal menggoyahkan semangat rakyat Selangor, jadi tiada sebab Tan Sri Muhyidin harus mencuba.


TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM adalah Menteri Besar Selangor. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS