'Ibubapa bawa anak sertai perhimpunan boleh dihukum'
Ibu bapa yang membawa anak menyertai perhimpunan yang dianjur pembangkang esok boleh dikenakan tindakan undang-undang
di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia Datuk Noraini Mohd Hashim berkata ibu bapa atau penjaga dinasihat tidak melibatkan anak-anak di bawah jagaan mereka dalam aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan seperti menyertai perhimpunan haram.
"Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan boleh diambil mengikut
subseksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab akan melindungi dan tidak membahayakan nyawa serta keselamatan kanak-kanak supaya kesejahteraan mereka terjamin.
- Bernama

