Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa bangunan lima tingkat yang menempatkan ibu pejabat Parti Progresif Penduduk (PPP) di Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur akan terus menjadi sebahagian aset milik parti itu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan sebulat suara untuk membenarkan rayuan PPP dengan kos RM250,000 selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu tidak melakukan sebarang kekhilafan berhubung isu bidangkuasa.

    

Dalam penghakiman setebal 29 muka surat yang dibacakan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Mahkamah Persekutuan berkata Mahkamah Rayuan sebaliknya telah menyebabkan ketidakadilan kepada perayu kerana campurtangan dalam kes itu selepas tersalah tafsir alasan penghakiman hakim Mahkamah Tinggi, yang bukan  sebahagian daripada rayuan.

    

"Dengan begitu banyak bukti di depan mahkamah ini, kami yakin saham berkenaan telah dipindahkan kepada defendan pada 2003 atas dasar kepercayaan. Sehubungan itu, defendan yang tidak mempunyai sebarang milikan atau kepentingan, tidak boleh memindahkan saham itu kepada orang lain," katanya.

    

Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Jeffery Tan dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

    

Dalam penghakimannya, panel itu juga bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa tindakan tidak membayar sewa apabila menduduki hartanah itu selepas bidaan berjaya pada 2003 serta pembayaran tetap cukai dan taksiran harta turut mengukuhkan lagi pegangan perayu.

    

"Berdasarkan fakta kes, adalah jelas bahawa defendan pertama (Chong Cheak Ah, bekas anggota PPP) hanya diarah untuk memegang saham sementara menunggu pembayaran balik pinjaman sepenuhnya, dan tidak pernah diberi kuasa pelupusan oleh perayu berhubung saham tersebut," katanya.  

    

PPP memfailkan saman itu pada Oktober 2010 selepas defendan memulakan tindakan undang-undang dengan mendakwa bahawa perayu (PPP) telah menceroboh hartanah tersebut sehingga menyebabkan beliau mengalami kerugian sebelum memohon untuk mendapatkan milikan kosong bagi bangunan berkenaan.

    

Presiden PPP Datuk Seri M.Kayveas, yang memfailkan saman itu bagi pihak PPP, memohon pengisytiharan mahkamah bahawa sebarang perjanjian yang dimeterai bersama defendan adalah batal dan tidak sah.

    

Penyataan tuntutan Kayveas mendakwa parti itu telah menduduki bangunan tersebut sejak 1998 dan membeli hartanah berkenaan di lelongan awam pada 2003 pada harga rizab RM2.67 juta.

    

Beliau juga mendakwa bangunan itu dibeli melalui cabang pelaburan PPP, Bintang Iradat (M) Sdn Bhd, di mana Kayveas dan seorang lagi anggota PPP B. Vijayandran adalah pemegang saham awal.

    

Kayveas berkata PPP membayar sebanyak 10 peratus yang berjumlah RM267,000 dan mengambil 'pinjaman mudah' tanpa faedah daripada Chong.

    

Defendan pertama bersetuju membayar baki harga belian iaitu RM2.4 juta pada 2003 serta menjadi pemegang amanah saham plaintif, dan defendan juga tidak dibenar menjual, melupus atau memindahkan saham tersebut.

    

Bagaimanapun, tanpa pengetahuan plaintif, defendan telah menjual saham itu kepada sebuah syarikat lain yang dikenali sebagai See Hong Chen & Sons Sdn Bhd pada harga RM2.5 juta.

    

Kayveas kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau gembira dengan keputusan itu dan menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati apabila melantik pemegang amanah.

    

"Kami terpaksa membelanjakan hampir setengah juta bagi kos perundangan untuk mendapatkan kembali bangunan milik kami. Parti politik juga boleh terperangkap," katanya.

    

PPP diwakili peguam Malik Imtiaz, M.Menon dan V.Mugunthan manakala defendan  oleh Datuk Harpal Singh Grewal, Joseph Yeo dan Paari Perumal.

    

- Bernama

ADS