Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hafarizam fail notis usul persoalan perlembagaan
Diterbitkan:  Jan 19, 2013 9:49 AM
Dikemaskini: 1:54 AM

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun memohon agar Mahkamah Persekutuan menentukan persoalan perlembagaan sama ada mahkamah boleh mendengar perkara berkaitan saman untuk menghadiri perbicaraan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi menjawab pertuduhan menghina.

    

Mohd Hafarizam, 41, memfailkan notis usul mengandungi tujuh persoalan berhubung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, melalui peguamnya Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Cheng Mai di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam.

    

Pada 12 April 2011, JKHK telah mengeluarkan saman kepada Mohd Hafarizam untuk menghadiri perbicaraan jawatankuasa itu bagi menjawab tuduhan menghina Dewan.

    

Dia menghantar sepucuk surat bertarikh 29 Mac 2011 kepada peguam Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim yang didakwa mengandungi bahasa yang amat tidak 'senonoh, biadap dan mengugut'.

    

Dia didakwa menghantar surat tersebut kepada Tetuan Tommy Thomas dengan menuntut bayaran kos sebanyak RM40,000 seperti diperinthkan oleh mahkamah.

Mohd Hafarizam merupakan peguam yang mewakili Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, dalam kes perisytiharan kerusi itu kosong oleh Teng.

    

Berikutan notis usul tersebut, Mahkamah Rayuan telah menangguhkan  pendengaran rayuan yang dikemukakan oleh DUN Selangor, setiausaha JKHK Mohamad Yasid Bidin dan JKHK DUN Selangor.

    

Kesemua mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Mei, 2011, yang memutuskan bahawa saman yang memerintahkan Mohd Hafarizam hadir pada perbicaraan JKHK untuk menjawab tuduhan menghina Dewan adalah terbatal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

    

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam, panel tiga hakim iaitu Datuk Clement Allan Skinner, Datuk Linton Albert dan Datuk Rohana Yusuf menetapkan 5 Februari ini untuk pengurusan kes rayuan itu.

    

Cheng memaklumkan panel tersebut mengenai notis usul yang difailkan itu dan memohon mahkamah menangguhkan prosiding rayuan sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas permohonan itu.

    

Bagaimanapun, peguam Chan Kok Keong, yang mewakili perayu, memohon mahkamah menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan itu.

    

Chan mempersoalkan tindakan Mohd Hafarizam mengemukakan permohonan rujukan itu pada peringkat akhir dan memperjelaskan permohonan itu sepatutnya dikemukakan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

- Bernama

ADS