Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: PDRM di landasan betul demi menjaga keselamatan
Diterbitkan:  Jan 22, 2013 2:26 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di landasan betul dalam melaksanakan tanggungjawab memastikan keamanan negara terpelihara walaupun ada pihak yang memandang serong, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini.

Pada masa yang sama katanya, semua pihak juga harus bergerak seiring dengan polis dalam usaha itu agar negara terus berada dalam keadaan terbaik, sebagaimana dunia melihat negara ini.

"Bagi memastikan keamanan berterusan, jangan ada pihak membangkitkan isu yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan agama, kita perlu utamakan nilai murni dan suci hati, baru kekal aman," katanya pada sidang media di Kangar.

Ismail sebelum itu menyampaikan ucaptama pada persidangan PDRM sempena pilihan raya umum ke-13.

Mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang dilapor mengugut mahu membakar Bible sebagai membantah penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu, Ismail berkata semua pihak perlu memikirkan sensitiviti agama lain dalam tindakan mereka.

"Kalau ada benda panas, mari kita sejukkan. Kalau dah sejuk kita tenteram," katanya.

Mengenai persidangan selama dua hari itu, Ismail berkata mesyuarat membabitkan semua ketua polis negeri, pengarah dan komander dalam PDRM.

Mesyuarat itu bagi membolehkan PDRM melakukan persiapan lebih sempurna untuk menghadapi pilihan raya umum kelak, katanya.

Pada majlis itu, Ismail turut melancarkan buku bertajuk 'Merintis Kecemerlangan HRMIS PDRM - Satu Perjalanan' terbitan PDRM.

-Bernama

ADS