Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini pada Rabu dari Kaherah untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang diadakan Davos, bandar peranginan ski.

Perdana Menteri disambut di lapangan terbang oleh Duta Malaysia ke Switzerland, Datuk Ho May Yong.

Davos yang kini mengalami suhu di bawah 15 darjah Celcius, terletak 148 kilometer tenggara Zurich.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri tiba di Terminal  Zurich ExecuJet pada pukul 4.30 petang waktu tempatan.

Najib akan mengetuai delegasi Malaysia yang terdiri daripada menteri-menteri kabinet, pemimpin korporat dan pegawai kanan sektor swasta pada acara empat hari yang bermula Rabu.

Kemudiannya di hotel, Najib dan Rosmah disambut oleh anggota delegasi  Malaysia yang menyertai WEF.

Perdana Menteri akan menggunakan WEF tahun ini yang bertemakan 'Resilient Dynamism' sebagai satu platform untuk menunjukkan peluang-peluang dan pertumbuhan cergas ekonomi Malaysia meskipun semasa ketidaktentuan ekonomi dunia pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Semasa pertemuan dua hala dan bersemuka yang dijadualkan dengan para pemimpin politik dan ketua-ketua industri, Najib, yang juga Menteri Kewangan, akan menampilkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelancongan pilihan di Asia.

Beliau juga akan memasarkan penjenamaan Malaysia berdasarkan kepada kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sejak pelancarannya pada Oktober 2010 pada forum berkenaan.

- Bernama

ADS