Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JPN buat laporan polis berhubung surat palsu
Diterbitkan:  Jan 31, 2013 7:34 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Putrajaya berhubung surat palsu yang didakwa mengarahkan pegawainya menghantar kad pengenalan yang tidak dituntut ke Sabah.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas perkara tersebut.

Menurutnya, JPN tidak pernah mengeluarkan surat arahan kepada mana-mana pegawai, kakitangan atau pejabat cawangannya untuk menghantar kad pengenalan dan Mykid yang tidak dituntut dalam masa 18 bulan ke Keningau, Sabah.

"Ini ditegaskan bahawa surat yang didakwa oleh pihak yang berkaitan adalah palsu. Kandungan surat tersebut mengandungi perkara-perkara yang diragui," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan media itu lagi, Jariah berkata perkara yang diragui itu ialah seperti kepala surat yang menggunakan alamat bahagian pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi.

Selain itu, Jariah berkata, tajuk nombor rujukan yang digunakan pada surat itu juga bukan merupakan nombor rujukan arahan daripada jabatan.

Katanya lagi, arahan jabatan "Bil. 14/2012" iaitu bertarikh 14 Disember 2012 juga didapati tidak wujud. Sebaliknya, arahan terakhir yang dikeluarkan oleh JPN adalah mengenai pindaan agama penduduk Sabah dan bertarikh 24 Disember 2012.

"Arahan jabatan sebagaimana yang didakwa juga tidak ditandatangani oleh pengarah bahagian serta tiada sebarang catatan "b.p".

"Cetakan nama kementerian pada kaki surat merujuk kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri," kata Jariah lagi.

Semalam, Mahfuz menuntut penjelasan JPN serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung surat yang didakwa dikeluarkan pengarah bahagian kad pengenalan JPN kepada semua pengarah negeri dan daerah di seluruh negara.

Mahfuz mendakwa surat bertarikh 14 Disember itu mengarahkan agar kad pengenalan serta Mykid yang tidak dituntut dalam masa 18 bulan dihantar melalui pos ke Keningau, Sabah.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Hishamuddin Hussein pula memberitahu, Jariah akan membuat laporan polis berhubung surat palsu itu.

"Itu surat palsu. Ianya palsu. Tuduhan yang dibuat adalah berdasarkan surat palsu.

"Saya minta orang ramai yang tiada kepentingan politik supaya tidak mempercayai perkara yang dibuat oleh pihak tertentu. Ketua pengarah JPN juga akan membuat laporan polis hari ini," kata Hishamuddin.

ADS