Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Utusan Melayu (M) Berhad membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am dan teruk kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung satu artikel fitnah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim sebulat suara menolak rayuan Utusan Melayu terhadap keputusan mahkamah tinggi.

Panel hakim yang juga terdiri daripada Datuk Anantham Kasinather dan Datuk Mah Weng Kwai, memerintahkan Utusan Melayu membayar kos guaman RM20,000 kepada Lim.

"Kami juga telah membaca dan membaca semula rekod rayuan sama seperti hakim mahkamah tinggi yang membaca rayuan, keterangan, hujahan dan kuasa yang ada. Kami sebulat suara menolak rayuan itu dengan kos," kata Zaharah.

Utusan Melayu telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi George Town pada 14 Dis, 2011 yang memerintahkan syarikat itu membayar RM200,000 sebagai ganti rugi selepas membenarkan saman fitnah Lim yang difailkan terhadap Utusan Melayu.

Lim, yang juga Anggota Parlimen Bagan dan Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih, menyaman Utusan Melayu kerana memfitnahnya dalam satu artikel bertajuk "Kebiadaban Guan Eng" yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 20 Dis, 2011.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim merujuk kepada perenggan ketujuh dalam artikel itu yang menurutnya perkataan yang digunakan antara lain memfitnahnya.

Dalam pernyataan pembelaannya, Utusan Melayu, menyatakan bahawa artikel itu disiarkan sebagai respons kepada serangan lisan Lim ke atas akhbar itu semasa berucap pada konvensyen pakatan pembangkang di Kepala Batas pada 19 Dis, 2011.

Dalam hujahnya hari ini, peguam Utusan Melayu, Mohana Kumar berkata Lim telah membangkitkan kemarahan terhadap akhbar itu dan Utusan Melayu mempunyai keistimewaan bersyarat bagi membela diri dengan membalas serangan itu.

"Apabila ada perbuatan membangkitkan kemarahan, penerbit layak untuk menyerang Lim dan jawapan sedemikian adalah bersamaan dengan keistimewaan bersyarat," katanya.

Peguam Lim, Jagdeep Singh Deo membantah dengan berkata bahawa tindakan mahkamah tinggi adalah betul apabila memutuskan bahawa LIm berjaya dalam membuktikan bahawa artikel yang dipersoalkan itu sebenarnya memfitnah Lim dan dia layak mendapat ganti rugi.

- Bernama

ADS