Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi berkata bekas timbalan panglima angkatan tentera darat Leftenan Jeneral Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid yang mempersoalkan mutu alatan serta kemudahan tentera turut bertanggungjawab menetapkan piawai berkenaan.

"Tahap (standard) dia apa? Tanya dia balik. Apa standard dia? Masa itu dia jadi timbalan panglima, saya ketua dia. Dia yang buat standard itu," kata Zahid yang berang dengan dakwaan tersebut.

Beliau ditanya mengenai dakwaan tersebut dalam sidang media selepas merasmikan satu portal kerjaya bagi pesara tentera hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Ghafir pada bulan lalu yang mendakwa standard peralatan serta kemudahan di kem tentera tidak menepati dana yang diperuntukkan dan turut mengibaratkan kem berkenaan seperti kemudahan di negara dunia ketiga.

Abdul Ghafir, antara lainnya mendakwa ambulans yang digunakan pasukan pengaman Malaysia di Namibia sering rosak dan anggota pasukan itu juga terpaksa menggunakan tuala sebagai selimut.

Beliau mempersoalkan sama ada aset dan kemudahan berkenaan setimpal dengan peruntukan sebanyak antara RM5 bilion hingga RM7 bilion untuk pertahanan setiap tahun.

Abdul Ghafir yang menjadi timbalan panglima angkatan tentera darat di antara tahun 2000 hingga 2005 berkata kementerian pertahanan banyak membuat rundingan terus untuk membeli peralatan.

Langkah ini terdedah kepada rasuah dan penyalahgunaan dana dalam pembelian peralatan, katanya.

ADS