Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Untung sebelum cukai Media Prima RM282.9j pada 2012

Keuntungan sebelum cukai Media Prima Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember  2012 meningkat sebanyak dua peratus kepada RM282.9 juta berbanding RM277.74 juta yang dicatatkan pada 2011.

    

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Amrin Awaluddin, berkata pendapatan Kumpulan bertambah empat peratus kepada RM2.04 bilion, yang tertinggi sejak kumpulan itu ditubuhkan.

    

"Keputusan ini mencerminkan daya tahan dan keupayaan kumpulan menawarkan penyelesaian bersesuaian dengan pelanggan dengan memanfaatkan kedudukannya sebagai kumpulan media bersepadu terkemuka di Malaysia dengan berkesan.

"Pendapatan keseluruhan bagi tahun berkenaan juga disokong oleh pengiklan bukan tradisi dan perbelanjaan yang meningkat oleh pelanggan-pelanggan semasa musim perayaan," katanya pada satu sidang akhbar.

    

Mengenai prospek, Amrin berkata kumpulan itu akan berusaha mengamalkan pengurusan risiko dan kewangan berhemah di samping memanfaatkan kecekapan kendalian.

    

"Kumpulan ini juga akan meneruskan usahanya untuk memperluas sumber pendapatan untuk menyokong perbelanjaan pengiklanan tradisi dari televisyen dan media cetak," katanya.

    

Mengenai rancangan penggabungan dan pengambilalihan, Amrin berkata Media Prima sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan anak-anak syarikat baru yang menguntungkan di bawah kumpulan itu.

    

"Tidak semestinya penggabungan atau pembelian, ada kalanya, mungkin dalam bentuk pelaburan," tegasnya.

- Bernama

ADS