Forum multimedia sisihkan pengguna
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan penuh hiba menarik diri daripada jawatankuasa penaja Forum Kandungan berkuatkuasa serta merta pada 17 Mac lalu. Persatuan terkenal yang menyuarakan hak pengguna itu terpaksa menarik diri kerana pihak korporat merasakan ia tidak diperlukan dalam forum tersebut.
Penarikan CAP itu bagaimanapun bukanlah suatu kejutan kerana telah berlaku beberapa proses yang mendorong situasi sedemikian.
Sejak Akta Komunikasi dan Multimedia digubal, pembatalan kawal selia (deregulation) menjadi isu utama yang dibincangkan di kalangan industri penyiaran dan telekomunikasi. Percantuman antara dua industri ini di bawah satu akta tidak pernah berlaku di mana-mana negara dunia.
Usaha mewujudkan suatu bentuk garis panduan yang dikawal selia oleh industri terbabit dapat dilihat apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (CMC) mewujudkan empat kumpulan perbincangan - forum kandungan (content), forum capaian (access), forum teknikal dan forum pengguna.
Satu daripada keistimewaan forum ini ialah pihak industri dibenarkan menggubal kod amalan dalam jangka masa tertentu seperti ditetapkan CMC. Kebebasan ini diberikan untuk industri pengiklanan, penyiaran dan telekomunikasi. Episod baru ini membolehkan mereka merintis jalan ke arah merangka kod untuk pengguna.
Namun sejauh manakah kod ini mementingkan hak pengguna dan orang awam?
Walaupun terdapat garis panduan yang dapat menjaga kepentingan orang ramai seperti kawalan ke atas kandungan bahan lucah, sensitiviti agama atau kaum tetapi pihak industri berkenaan tentulah mementingkan industri itu dahulu.
Yang membimbangkan sekarang ialah kekurangan wakil-wakil pihak orang awam dan pengguna dalam forum-forum CMC. Jadi siapakah yang akan membawa input daripada golongan ini?
Contohnya, dalam jawatankuasa penaja forum kandungan, sedikit sekali garis panduan yang memihak kepada kepentingan pengguna atau orang awam.
Daripada puluhan badan bukan kerajaan (NGO), wakil CAP sahaja yang hadir. Badan-badan lain, misalnya Fomca (Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia), tidak hadir. Walaupun badan-badan ini pernah dijemput untuk menyertai forum-forum berkenaan tetapi kerana tiada kepakaran dan minat, mereka menjauhkan diri.
Dalam forum kandungan misalnya, persatuan-persatuan agama dan pertubuhan belia wajar menghadiri setiap mesyuarat.
Apabila NGO tidak menyertainya, tidak ada input pengguna (atau pandangan awam) dan perdebatan antara pengguna dengan pembekal maklumat.
Keadaan ini membolehkan pihak industri menguasai kedua-dua forum kandungan dan pengguna.
Keadaan ini menimbulkan persoalan, di manakah kedudukan pengguna dan orang awam pada masa depan dan siapakah yang mewakili mereka. Kita tidak mahu pihak industri mengambil kesempatan daripada ketidakseimbangan itu untuk mengemukakan pandangan dan kepentingan mereka sahaja ke dalam garis panduan untuk forum kandungan.
Dalam forum kandungan yang diadakan pada pertengahan Februari lalu, isu utama yang diperdebatkan ialah kesahihan jawatankuasa penaja itu sendiri kerana setakat ini forum itu belum didaftarkan.
Seorang peguam dari sebuah syarikat televisyen swasta mempersoalkan bagaimana perbincangan mengenai garis panduan hendak diadakan jika forum itu sendiri masih belum wujud. Apakah statusnya? Hal ini juga ditimbulkan dalam forum pengguna.
Perwakilan daripada sebuah syarikat telefon tanpa wayar ingin tahu kenapa syarikatnya tidak dijemput menghadiri jawatankuasa penaja forum kandungan. Wakil itu juga mempersoalkan kesahihan garis panduan yang ingin dijadikan kod amalan kerana mereka tidak terlibat menggubal draf tersebut.
Dalam perbincangan yang adakan awal Mac, isu keahlian pula dibincangkan. Perkara penting yang menjadi keprihatinan CAP ialah keahlian forum haruslah seimbang -- harus terdapat undian yang adil untuk ahli daripada semua kumpulan..
Namun dalam mesyuarat pada pertengahan bulan lalu, undian dibuat agar NGO tidak dilibatkan dalam persatuan yang ditubuhkan kelak.
Perkembangan yang berlaku ini amat membimbangkan kerana kepentingan pengguna akan diabaikan dan malah ditentukan arahnya oleh pihak industri.
Tekanan daripada pihak industri memang kuat. Kepentingan kumpulan ini akan menjadi garis panduan dalam forum kandungan yang akan didaftarkan sama ada awal atau penghujung April.
Untuk kepentingan siapakah forum-forum ini diwujudkan?
Dalam forum pengguna, pihak industri mahu pengerusinya diserahkan kepada kumpulan mereka, kononnya sebarang keputusan senang dibuat. Setakat ini, CAP mempengerusikan forum itu.
Jangan biarkan masa depan kita ditentukan oleh pihak industri sahaja!

