Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC Kedah dakwa kenyataan Nik Aziz hina penganut Hindu

Tindakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan adalah satu penghinaan kepada rakyat yang memerlukan bantuan seumpama itu, kata Pengerusi Perhubungan MIC Kedah, S Ananthan.

Katanya, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya menghina rakyat yang amat menghargai usaha kerajaan pusat itu, sedangkan pembangkang sendiri tidak mampu melakukannya.

Kenyataan Nik Abdul Aziz yang turut mengaitkan penerima BR1M dengan binatang termasuk lembu juga suatu penghinaan kepada penganut agama Hindu kerana lembu adalah haiwan suci masyarakat Hindu, katanya kepada Bernama, di Padang Serai hari ini.

Beliau yang ditemui selepas berjumpa penerima BR1M kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas, juga berkata kenyataan celupar Nik Abdul Aziz itu mencetuskan kemarahan penganut Hindu.

"Kita kesal dengan  pelbagai fatwa yang dikeluarkan apabila dia cuba meraih simpati daripada pengundi Islam tetapi beliau tidak sedar yang ada pihak lain iaitu masyarakat Hindu telah tercalar hati mereka akibat ulasan negatif dan tidak masuk akal itu," katanya.

Beliau turut merujuk kepada gaji yang diterima Nik Abdul Aziz sewaktu bertugas sebagai Penyelia Kemajuan Masyarakat dulu.

"Beliau pun terima wang gaji daripada kerajaan sama," katanya.

Dalam ceramahnya di Kota Baharu baru-baru ini, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dilapor membuat kritikan pedas tentang BR1M dan bantuan lain yang diberi kerajaan persekutuan dengan mengumpamakannya seperti 'menabur padi dan hampas kelapa kepada ayam dan lembu'.

Dalam perkembangan lain, Ananthan yang juga Penyelaras DUN Lunas berkata sehingga kini 10,622 individu dan isi keluarga yang tinggal dalam kawasan DUN berkenaan telah menerima BR1M.

- Bernama

ADS