Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR: Pencerobohan Sabah tak jejas persiapan p'raya

Insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina di Sabah tidak merencat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) negara ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata persiapan bagi pilihan raya umum setakat ini berjalan lancar dan pihaknya meletak sepenuh keyakinan kepada pihak berkuasa keselamatan bagi menyelesaikan perkara itu.  

"Bagi SPR, persiapan menghadapi PRU-13 berjalan lancar tanpa mengira apa-apa senario. Itu urusan keselamatan negara yang sedang ditangani dengan serius oleh pasukan keselamatan kita. Kita yakin ini akan selesai dan insya-Allah, PRU-13 akan berjalan seperti kita rancangkan," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama semalam.

Insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah yang dilapor sejak 12 Feb, mengorbankan lapan anggota keselamatan negara – dua di Lahad Datu dan enam di Semporna.

"Saya sungguh sedih tentang anggota polis kita yang terkorban dan mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang berkenaan," kata Wan Ahmad.

Beliau berkata pada masa ini, SPR giat memberi taklimat ulangan dan  memperhalusi persiapan para pegawai dan petugas, termasuk yang terlibat dalam pilihan raya di luar negara.

Wan Ahmad berkata SPR juga bertemu pemimpin parti politik dalam masa terdekat untuk memberi penerangan terakhir, antaranya berkaitan proses perjalanan pilihan raya umum, termasuk pengundian.

Seramai 13.29 juta pengundi berdaftar sehingga 31 Dis lepas diwartakan SPR pada Februari lepas, dengan lebih dua juta daripadanya adalah pengundi baharu.

Bagi pengundi luar negara, sehingga kini SPR menerima 4,423 permohonan mengundi secara pos menerusi Borang 1B, dengan jumlah tertinggi dari Australia iaitu sebanyak 868.

Permohonan lain adalah daripada rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom sebanyak 634, China 341 dan Amerika Syarikat 259.

Permohonan turut diterima dari mereka yang tinggal di Qatar, New Zealand, Mesir dan Jepun.

- Bernama

ADS