Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai SPRM kata bantuan BR1M bukan politik wang

Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia dan janji untuk menaikkan jumlah bantuan itu sekiranya BN memenangi pilihan raya umum ke-13 bukan satu bentuk politik wang.

Pendapat itu dinyatakan oleh timbalan pengarah kanan bahagian siasatan SPRM Han Chee Rull dalam satu forum anjuran pejabat ketua pembangkang di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan hadirin pada sesi khusus membicarakan tajuk 'Menentang politik wang dan rasuah pilihan raya menjelang pilihan raya umum ke-13'.

"Secara jujurnya pada pendapat saya, BR1M disampaikan kepada semua rakyat tanpa mengira mereka itu pengundi atau tidak.

"Ia juga adalah satu bentuk polisi pembangunan," katanya yang bercakap mewakili pengerusi SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Menurutnya lagi, pihak yang bertanding dalam pilihan raya bebas membuat tawaran mereka kepada rakyat.

"Dalam mana-mana pilihan raya, semua pihak akan membuat janji tentang perkara yang mereka mahu lakukan," katanya.

Sebelum itu, beliau menjelaskan bahawa istilah 'politik wang' tidak didefinisikan dengan jelas dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Namun, kesalahan membeli undi yang jelas tertakluk di bawah Seksyen 16 akta yang sama, katanya.

ADS