'Politik stabil bukan bererti tak tukar kerajaan'
Kestabilan politik penting untuk menentukan hala tuju ekonomi negara namun ia tidak bermaksud kerajaan yang memerintah tidak boleh ditukar, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pastinya, kestabilan politik itu faktor utama, dan saya mahu tekankan ia faktor paling penting dalam menentukan objektif dan hala tuju pengurusan ekonomi.
"Tetapi saya mahu tekankan ia tidak harus dikelirukan dengan hujah yang menekankan kestabilan politik itu penting sehingga kerajaan tidak boleh ditukar," kata Anwar sewaktu menyampaikan ucap utama "Forum Pengurusan Ekonomi dalam Transisi Politik" di Kuala Lumpur semalam.
Menurut Anwar, kestabilan politik sesebuah negara akan teruji berdasarkan sejauh mana negara itu mampu mengalami pertukaran kerajaan secara aman melalui peti undi.
"Tidak kira apa yang cuba disampaikan propaganda Umno-BN, kami Pakatan Rakyat percaya dengan proses aman ini dan kami yakin rakyat sudah matang dan bersedia untuk perubahan ini," katanya.
Sewaktu pilihan raya umum 2008, Pakatan berjaya memenangi 82 daripada 222 kerusi Parlimen dan memenangi 206 daripada 576 kerusi dewan undangan negeri seluruh negara.
Kemenangan itu membolehkan mereka mentadbir empat negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

