Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Herald: Pengurusan kes rayuan kerajaan 25 April

Mahkamah Rayuan Putrajaya menetapkan 25 April ini untuk lanjutan pengurusan kes terhadap rayuan oleh kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap perintah Mahkamah Tinggi bahawa kalimah 'Allah' boleh digunakan oleh majalah mingguan Katolik, Herald.

    

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammed Zaki Abdul Kudos menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan Gereja Katolik Kuala Lumpur, selaku responden, memfailkan afidavit tambahan.

    

Beliau memutuskan demikian dalam kamar semasa pengurusan kes itu disebut hari ini.

    

Selain itu, Muhammed Zaki turut menetapkan 8 Mei ini untuk mendengar rayuan oleh tujuh pihak iaitu enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman oleh gereja itu berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya.

    

Majlis berkenaan ialah Majlis Agama Islam Terengganu, Selangor, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan Melaka.

    

Rayuan itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes bagi kali pertama sejak perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009. Ia sebelum ini dijadual untuk pengurusan kes pada 28 Feb lalu tetapi tarikh itu dikosongkan ke hari ini.

    

Kerajaan dan KDN diwakili oleh barisan peguam kanan persekutuan diketuai Arik Sanusi Yeop Johari manakala majlis agama Islam negeri dan MACMA oleh pasukan peguam diketuai oleh Abdul Rahim Sinwan.

    

Peguam S Selvarajah bertindak bagi pihak gereja.

    

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tingi Datuk Lau Bee Lan memutuskan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan Herald daripada menggunakan kaliamah 'Allah' dalam majalah edisi bahasa Malaysia itu adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

    

Pada 16 Februari 2010, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan gereja dengan menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.

    

Gereja itu menuntut antara lain, perisytiharaan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan itu adalah tidak sah dan kalimah 'Allah' bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

    

Majalah mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' sebagai terjemahan untuk 'God' dalam seksyen bahasa Malaysia tetapi kerajaan berhujah bahawa  kalimah 'Allah' hanya  boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.

- Bernama

ADS