Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU13: Polis T'ganu kenalpasti 60 kawasan 'panas'

Polis Terengganu telah mengenal pasti 60 kawasan 'panas' di seluruh negeri Terengganu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata kesemua kawasan terbabit mempunyai jumlah penyokong kerajaan dan pembangkang yang seimbang serta pernah mempunyai rekod 'bermasalah' pada PRU sebelum ini.

Sehubungan itu polis akan menambah kekuatan anggota di kawasan terbabit bagi memastikan PRU13 berjalan lancar, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Polis ke-206, di Kuala Terengganu hari ini.

Katanya mereka akan disokong Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gempur Ringan (LSF), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Sebanyak 3,600 anggota dan pegawai polis akan bertugas di Terengganu sepanjang pilihan raya umum kali ini, katanya.

Menurut Hamzah, pihaknya juga sedang giat melatih Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) dan berharap pasukan itu akan dapat menjalankan tanggungjawab berdasarkan kelebihan yang dimiliki masing-masing.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS