Exco Selangor, Elizabeth Wong mempertahankan tindakan kerajaan negeri itu daripada dakwaan pelanggaran tatalaku utama kerajaan sementara negeri itu oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Dalam wacana membincangkan peranan kerajaan sementara semalam, Elizabeth menjelaskan pemberian bonus RM300 kepada kakitangan negeri sebenarnya diputuskan menteri besar sebelum dewan undangan negeri dibubarkan lagi.

Menurutnya, ia hanya diumumkan Tan Sri Khalid Ibrahim secara bersahaja pada satu sidang media selepas pembubaran sewaktu beliau diminta menilai prestasi kakitangan kerajaan negeri oleh pihak media.

NONE "Pada masa itu ada media dan mereka tanya bagaimana beliau menilai prestasi exco-exconya dan beliau jawab beliau memutuskan untuk beri bonus kepada semua kakitangan negeri. Keputusan itu dibuat sebelum itu (pembubaran) lagi," kata Wong ( kiri, berdiri ).

BERSIH semalam menyenaraikan tiga perkara yang dilakukan kerajaan Selangor dan dianggap melanggar tatalaku kerajaan sementara dengan satu daripadanya lagi melibatkan peruntukan RM2.46 juta untuk program keselamatan kejiranan.

"Saya sendiri mengumumkannya (peruntukan itu) sebelum sidang dewan dibubarkan tetapi berita tentangnya hanya diterbitkan pada 5 April," kata Elizabeth.

Terdapat perkara 'tidak begitu jelas'

Beliau bagaimana pun mengakui terdapat perkara yang "tidak begitu jelas" tentang pemberian hak milik tanah kepada penduduk kampung di Bestari Jaya.

"Dasar berkenaan hak milik tanah ini digubal pada tahun 2010. Tetapi, saya telah berbincang dengan rakan setugas saya dan mungkin ada perkara yang tidak begitu jelas tentangnya yang perlu kami pertimbangkan," tambahnya lagi tanpa memperincikan perkara berkenaan.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaannya terhadap perbincangan tentang peranan kerajaan sementara memandangkan ia tidak pernah dibincangkan secara serius sebelum ini.

"Kita sangat berhati-hati sekarang ini kerana terdapat begitu banyak penelitian (tentang peranan kerajaan sementara).

"Tetapi kami kekal beriltizam untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri lebih telus," katanya.

NONE Mengulas isu lain, Elizabeth menyatakan kebimbangan terhadap ikrar kumpulan pendesak Asalkan Bukan Umno (ABU) yang mahu menghalang warga asing dengan kad pengenalan yang diberikan untuk tujuan mengundi daripada mengundi.

"Kita tidak mahu sebarang keganasan di luar pusat mengundi kerana ia akan menghalang orang daripada keluar mengundi. Kita tidak mahu perkara ini. Kita mahu orang keluar mengundi," katanya.

Menurutnya, ABU tidak boleh menghalang sesiapa sahaja daripada mengundi dengan hanya cuba mengenal pasti mereka yang dipercayai merupakan warga asing.

Wacana selama lebih dua jam itu turut menampilkan pakar undang-undang perlembagaan, Tommy Thomas; ahli strategi DAP, Dr Ong Kian Ming; ahli jawatankuasa BERSIH Dr Farouk Musa; and pengarah pusat kajian pendapat Merdeka Centre, Ibrahim Suffian.