Polis meminta bakal calon bebas supaya menasihatkan penyokong mereka agar tidak menimbulkan kekecohan sepanjang tempoh pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berlangsung.

    

Penolong Ketua Urusetia (Komunikasi Korporat) Ketua Polis Negara ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata penyokong dan calon yang tidak terpilih mewakili parti mesti mematuhi undang-undang yang ditetapkan walaupun mereka mungkin tidak berpuas hati kerana tidak dipilih.

    

"Ini memandangkan kebanyakan calon bebas sebelum ini digugurkan atau tidak terpilih untuk mewakili parti masing-masing dan berkemungkinan ada antara penyokong mereka yang tidak berpuas hati dan menimbulkan sabotaj," katanya pada taklimat PRU13 kepada media di Bukit Aman di ibunegara hari ini.

    

Ramli berkata polis menerima 89 laporan melibatkan isu berkaitan pilihan raya di seluruh negara semalam, menjadikan sejumlah 876 laporan polis diterima sejak Dewan Rakyat dibubarkan pada 3 April.

    

Semalam di Kuala Kangsar, Perak, katanya, berlaku satu kes 'samseng politik' apabila seorang suspek memasuki rumah pengadu yang bersebelahan dengan bilik gerakan dan mengambil sebilah parang serta menyerang pengadu dan rakan-rakannya.

    

Suspek telah dikenal pasti dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh didenda atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, katanya.

    

Sementara itu, Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata bagi menghadapi PRU13, Polis Diraja Malaysia diperuntukkan RM150 juta untuk memastikan keperluan kelengkapan dan perkhidmatan mencukupi.

    

"Peruntukan tersebut terdiri daripada menyenggara kenderaan darat, udara dan laut melibatkan kos sebanyak lebih RM60 juta," katanya.

    

- Bernama