Perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Abdul Razak dilaporkan mempertahankan keputusan kerajaan untuk mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, dengan berkata orang Islam dan Kristian tidak patut menyinggung perasaan sesama sendiri.

"Konsep Allah dalam pengertian orang Islam berbeza dengan pengertian orang Kristian, kita tidak patut menyinggung perasaan orang Islam dan orang Islam tidak patut menyinggung perasaan Kristian, kita telah hidup secara harmoni untuk bertahun-tahun dan ia patut kekal sebegitu," beliau dipetik sebagai berkata dalam wawancara dengan saluran berita antarabangsa Al-Jazeera.

Wawancara 30 minit itu akan disiarkan pada jam 12.30 tengah hari esok dan akan diulang siar tiga kali untuk tempoh dua hari kemudiannya, menurut kenyataan Al-JAzeera hari ini.

azlan Kalimah Allah digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan "god", terutamanya dalam Bible versi bahasa Melayu sebelum diharamkan pada 2007.

Dalam wawancara itu, Najib juga dilaporkan menolak cadangan debat dengan musuh ketatnya Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ada banyak cara untuk sampai kepada orang ramai, kedua-dua parti politik mempunyai banyak ruang di Malaysia. Nampaknya tidak mungkin kita akan ada debat, kita perlu terlibat dengan orang ramai, pembangkang akan terlibat dengan rakyat," beliau dilaporkan bercakap dalam segmen ‘Talk to Al-Jazeera'.

Najib membuat keputusan itu walaupun kajian terkini yang dikeluarkan semalam mendapati 63 peratus pengundi di semenanjung mahu Najib dan Anwar berdebat berhubung manifesto parti masing-masing.

[Baca berita penuh]