Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menempatkan Malaysia pada kedudukan yang tinggi di kalangan negara-negara membangun yang meliputi bidang seperti kestabilan politik dan birokrasi yang lebih baik.

Indeks yang mengukur kekukuhan institusi dari sifar hingga 100 dengan pencapaian markah yang lebih tinggi menunjukkan kestabilan politik yang kukuh, birokrasi yang lebih baik, kurang perbalahan dan kurang rasuah.

Malaysia mencatatkan markah lebih 70, yang jauh meninggalkan Indonesia, India, Filipina dan mencatatkan markah lebih tinggi dari China, yang juga menduduki tangga tinggi pada kedudukan tersebut, kata IMF dalam tinjauan ekonomi serantaunya bagi Asia dan Pasifik.

Katanya negara-negara yang mempunyai kestabilan politik yang lebih baik - yang berpunca dari perpaduan kerajaan, Parlimen yang kukuh dan sokongan popular serta kurang rasuah dan birokrasi yang lebih baik, yang mempunyai kemungkinan besar menolak godaan untuk melakukan perbelanjaan awam semasa ekonomi melambung.

Berikutan itu, ia akan mewujudkan ruang fiskal yang lebih besar bagi mewujudkan dasar-dasar fiskal kitaran balas semasa kemelesetan, kata agensi yang berpangkalan di Washington itu.

Katanya herotan subsidi makanan dan tenaga, yang mengenakan kos fiskal langsung lebih 2.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun di China, Indonesia, Korea Selatan, Malaysia dan Asia Selatan, boleh dihapuskan secara perlahan-lahan.

IMF berkata ia boleh diganti oleh program-program yang disasarkan seperti pemindahan tunai langsung.

Malaysia telah melaksanakan program pemberian tunai yang dinamakan BR1M, yang disasarkan untuk mengurangkan bebanan kewangan kumpulan berpendapatan rendah dan penganggur tetapi ia tiada kaitan dengan subsidi.

- Bernama