Akhbar The Star tolak iklan DAP
DAP menuduh akhbar The Star menghalang parti itu daripada menyiarkan iklannya di harian tersebut.
Parti itu telah menghasilkan sebuah iklan untuk menjawab siri iklan MCA yang mendakwa satu undi untuk DAP adalah satu undi untuk PAS.
Menurut Ketua Publisiti DAP, Tony Pua, pihaknya telah menghasilkan satu iklan dalam nada yang sama, mendakwa bahawa satu undi untuk MCA adalah satu undi untuk Umno, dan dengan itu, satu undi untuk PERKASA.
Iklan itu memaparkan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali dan Naib Presidennya, Zulkifli Noordin.
"Kami tidak mempunyai akses kepada media walaupun jika kita mahu
membayarnya... walaupun kandungannya dan kandungan mereka (MCA) adalah lebih kurang sama," katanya.
Pua (kanan) berkata, akhbar The Star pada mulanya menolak iklan itu atas asas bahawa Ibrahim memegang keris.
Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya mengemukakan iklan lain tanpa keris.
"Dalam masa sejam, iklan itu ditolak," katanya dalam satu sidang akhbar di Klang hari ini.
Dua akhbar lain - Harian Metro dan Kosmo! - malah menolak walaupun untuk untuk sebut-harga, dan secara terang-terang menyatakan mereka tidak menerima iklan dari parti pembangkang, kata Pua.
Pua mengeluh kerana Pakatan Rakyat tidak mempunyai akses kepada media bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi mengucapkan terima kasih kepada akhbar berbahasa Cina kerana membenarkan DAP menyiarkan iklan-iklan parti itu sepenuhnya.

