Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan terus konsisten dalam usaha mendapatkan keadilan bagi dirinya dalam dakwaan kes diliwat membabit bekas majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    

"(Saya) akan terus doa, sabar dan istiqamah," katanya dalam tweetnya yang terbaru dalam akaun twitternya hari ini berikutan perkembangan terbaru melibatkan kes berkenaan.

    

Hari ini bapa Mohd Saiful, Azlan Mohd Lazim, dalam satu sidang media, mengumumkan menarik balik kenyataannya awal Mac lalu yang mendakwa anaknya diperguna oleh pihak tertentu untuk mendakwa Anwar.

    

"Saya sudah insaf dan terlanjur serta mahu kembali ke jalan kebenaran. Tidak terlambat untuk memohon maaf kepada mereka," katanya hari ini.

    

Azlan berkata beliau kini kembali berpegang kepada keyakinan bahawa anaknya diliwat seperti apa yang didakwanya di mahkamah, dan bukan konspirasi politik untuk menjatuhkan ketua umum Parti Keadilan Rakyat itu.

    

Mohd Saiful dalam tweetnya juga berkata: "Jika bapa jujur dan ikhlas, syukur Alhamdullilah. Yang hak pasti berdiri, janji Allah pasti."

    

Bekas pembantu Anwar dalam tweet keduanya meminta bekas majikannya itu menghentikan apa yang didakwanya sebagai "permainan jijik kamu."

    

"Wang tidak dapat menghapuskan kebenaran," katanya.

    

Mohd Saiful juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakannya.

    

Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari mulai 22 Julai bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari.

    

Pada 9 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar atas dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansarara di sini, antara  pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

    

Anwar, 65, yang juga Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    

- Bernama