Tiada akta lindungi e-dagang
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan belum ada satu akta khusus bagi melindungi kepentingan hak-hak pengguna yang menjalankan urusan perniagaan melalui e-dagang.
Bagaimanapun Timbalan Menteri berkenaan, Datuk S Subramaniam memberitahu sidang parlimen bahawa usaha tertentu akan dijalankan oleh kerajaan untuk melindungi hak-hak pengguna.
"Akta perlindungan pengguna 1999 tidak dapat dinikmati kerana tidak meliputi e-dagang, atau e-dagang dikecualikan daripada akta," ujar Subramaniam kepada soalan lisan ahli parlimen Liow Tiong Lai (BN-Bentong) hari ini.
Beliau berkata perniagaan melalui laman web atau internet yang didaftarkan di dalam negeri perlu mematuhi Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Kawalan Barangan 1957 bagi melindungi pengguna.
"(Manakala) masalah timbul bagi perniagaan yang didaftarkan di luar negara yang tidak perlu mematuhi akta-akta tersebut," jelas Subramaniam kepada dalam sidang dewan.
Liow pagi tadi telah meminta Timbalan Menteri itu menyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk melindungi hak-hak pengguna semasa menjalankan urusan mereka melalui e-dagang.
Beliau dalam soalan tambahan turut mengulas perniagaan jualan langsung yang mengambil kesempatan melalui e-dagang dan meminta langkah tertentu diambil untuk mengawal perniagaan tersebut. Subramaniam menjelaskan perniagaan itu tidak memerlukan lesen perniagaan daripada pihak kementerian melalui e-dagang. Bagaimanapun kerajaan akan membuat penelitian yang juga mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Kementerian tersebut juga telah menjadi ahli dalam Jawatankuasa Perdagangan Elektronik dalam Perdagangan dan Industri di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Beliau berkata, di bawah jawatankuasa tersebut, KPDNHEP telah diminta mengkaji isu-isu seperti harta intelek, perlindungan pengguna, perdagangan dalam negeri dan pendaftaran perniagaan dalam syarikat bagi meminda atau menggubal cadangan-cadangan berhubung kepentingan pengguna itu.
Sementara itu, dalam sesi soalan tambahan, wakil rakyat Datuk Dr Jamaluddin Mohd Jarjis (BN-Rompin) meminta keselamatan pengguna menggunakan kad kredit dalam e-dagang dipertingkatkan.
Subramaniam mengulas perkara itu bukan di bawah kuasa kementerian tersebut tetapi menjadi tanggungjawab Bank Negara bagi merangka langkah-langkah keselamatan berhubung masalah tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.