NONE BICARA MP Masalah air di Ampang seperti tiada penghujungnya. Dalam satu pertemuan bersama dua pegawai SYABAS pada 23 Mei lepas, kami dimaklumkan satu daripada pam di rumah pam Wangsa Maju trip kerana tidak mampu menampung bebanan kerja.

Kapasiti pam hanya mampu mengeluarkan 180mil liter tetapi penggunaan air telah meningkat ke 230mil liter sehari mengakibatkan pam trip dan gangguan bekalan air belaku.

Oleh itu Pejabat Ahli Parlimen menyarankan agar bekalan air dikekalkan pada kapasiti 180mil walaupun ianya dalam tahap tekanan yang rendah namun akan dapat salurkan air pada keseluruhannya.

Kami juga dimaklumkan bahawa pihak SYABAS dan kerajaan Persekutuan telah pun bekerjasama untuk menambahbaik rumah pam di Wangsa Maju. Difahamkan, kos perbelanjaan rumah pam tersebut menelan belanja RM11.5 juta dimana kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan RM8juta dan selebihnya ditanggung pihak SYABAS. Kerja-kerja itu dijangka selesai dalam tempoh 9 bulan.

Langkah ini perlu diambil sementara menunggu siapnya pembinaan Rumah Pam Wangsa Maju Baru yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Selangor melalui peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan. Difahamkan pelan rekabentuk itu sedang dalam proses penglulusan.

Rumah pam baru dilaksanakan oleh kerajaan Selangor ini dijangka siap pada 2015. Dengan terbinanya Rumah Pam Wangsa Maju yang baru ini, masalah air kawasan terbabit dapat diatasi

Pun begitu, kerajaan negeri pula patut mempunyai rancangan jangka pendek untuk menangani krisis air ini. Pelan jangka pendek hendaklah diatur supaya bekalan air bersih kepada penduduk terjejas.

Ini termasuk menyediakan lebih banyak tangki statik tetap terutamanya di kawasan flat kos rendah yang terlibat. Jika SYABAS tidak mempunyai cukup tangki, adalah tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyediakannya.

Sementara itu, kami merayu kepada rakyat agar berjimat-jimat dalam penggunaan air untuk kesejahteraan rakyat Ampang. Jika setiap orang dapat menjimatkan 50 liter air sehari, Ia mampu dicapai kerana 50 liter tidak banyak.

Sekadar 10 botol air mineral 5 liter yang sering kita beli di kedai-kedai dapat membantu menggurangkan penggunaan air dan mengelakkan gangguan bekalan air di kawasan kita.

Kami berharap semua pihak yang terlibat komited menangani isu air ini. Kerajaan negeri dan SYABAS hendaklah memainkan peranan agar rakyat tidak lagi menjadi mangsa. Air adalah keperluan asas dan ia tidak seharusnya dipolitikkan dan rakyat dikambing hitamkan.


Zuraida Kamaruddin, adalah ahli parlimen Ampang