Dalam Kongres Nasional PKR ke-9 baru-baru ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai pegawai perhubungan politik atau "political liaison" kerajaan Selangor.

NONE Anwar memberikan alasan bahawa tugas Saifuddin nanti adalah untuk merapatkan jurang antara PKR dan Pakatan Rakyat di Selangor selain bagi memastikan urusan politik dipisahkan daripada pentadbiran negeri dan urusan perniagaan syarikat.

Anehnya yang akan menggalas tugas berkenaan juga adalah orang politik.

Bertambah aneh apabila cadangan itu datang ketika Anwar sendiri menolak peranan pemimpin politik termasuklah anggota PKR sendiri daripada diberikan kedudukan di dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sepertimana yang dilaporkan beberapa media, pemimpin dan ahli PKR Selangor khususnya mula mempertikai usaha pelantikan tersebut.

Saifuddin dilihat bukanlah seorang yang boleh diharap membantu memperkukuh PKR dan Pakatan di Selangor lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri kalah dalam PRU lepas.

NONE Saifuddin bukan sahaja menyebabkan PKR kehilangan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu, namun kerusi yang ditinggalkannya di Kelantan iaitu Parlimen Machang juga dirampas kembali oleh Umno-BN.

Meskipun menang di Machang dalam PRU tahun 2008, namun nampaknya beliau tetap gagal membina tapak politik di Kelantan.

Keadaan hampir serupa apabila Saifuddin ( kanan ) dilihat lari meninggalkan kerusi DUN Lunas meski pernah memenanginya dalam pilihan raya kecil tahun 2000.

Selain itu Saifuddin juga pernah meninggalkan PKR selepas kalah dalam PRU ke-11 di Parlimen Padang Serai.

Tanpa rasa bersalah beliau menyertai PAS di cawangan Kampung Sakan dan kawasan Pokok Sena, Kedah.

Pengantara yang suka berpindah

Ramai yang percaya, keputusan berkenaan menjadikan beliau telah mendapat imbuhan politik dengan dilantik sebagai pengarah urusan sebuah NGO di Kelantan yang dikenali sebagai Yayasan Tok Kenali.

Jalan politiknya yang suka berpindah-pindah dan tidak mempunyai tapak politik yang tetap menyebabkan ahli dan pimpinan Pakatan di Selangor terpinga-pinga dengan cadangan pelantikan Saifuddin sebagai "perantara politik".

Lebih tidak menyenangkan apabila cadangan mengenainya dibuat dalam masa Anwar sendiri mengenepikan mentah-mentah pandangan PKR Selangor yang merayu agar diletakkan pimpinan peringkat negeri untuk jawatan di GLC.

ipoh blackout 505 rally medan istana 120513 Sikap double standard sedemikian juga berlaku di ketika ketua umum PKR itu dilihat sebuk menganjurkan episod perhimpunan "Blackout 505" ( kanan ) di seluruh negara.

Kini ramai yang bertanya, apakah kesudahan dan penghujung siri episod perhimpunan itu?

Mahu tidak mahu ternyata perhimpunan yang dibuat secara tergesa-gesa sejurus selepas PRU lalu hanya untuk mengalih pandangan umum sementara percaturan politik di Selangor dapat diselesaikan.

Dalam tempoh sebulan ini, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan di mana pada ketika itu selalunya semua aktiviti politik pasti tergendala.

Kehadiran orang ramai juga semakin berkurangan berbanding kali pertama diadakan di Kelana Jaya dan di Pulau Pinang tempoh hari.

Maka tidak salahlah tanggapan segelintir penganalisis politik bahawa Anwar hanya mahu menggunakan perhimpunan "Blackout 505" demi menutup kelemahan dan kegagalannya membawa Pakatan sampai ke Putrajaya.

Legasi 'politik keluarga'

Melihat realiti politik Malaysia, Anwar tentu tahu bahawa perhimpunan sebegitu tidak akan ke mana. Jauh sekali ke arah mewujudkan apa yang disebut sebagai "Arab Spring" ( bawah ) atau apa juga bentuk revolusi sepertimana yang didakwa media arus perdana.

Maka langkah Anwar untuk menempatkan Saifuddin di koridor kuasa pejabat Menteri Besar Selangor wajar dilihat sebagai agenda memperkukuhkan legasi kronisme dan nepotisme atau "politik keluarga" di negeri paling kaya di Malaysia.

NONE Semua itu seiring dengan pelantikan barisan exco yang diumumkan menteri besar Selangor di mana wakil-wakil PKR semuanya dikatakan sebagai "orang-orang presiden".

Jika sebelum ini Anwar dilihat giat mengatur dan menyusun calon-calon pilihan raya yang cenderung berkiblatkan Wan Azizah dan Nurul Izzah Anwar, hal sama turut berlaku menerusi pelantikan ADUN-ADUN PKR yang menjadi exco negeri Selangor.

Lalu pelantikan Saifuddin yang dilihat sebagai operator politik yang melompat dari satu parti ke satu parti, dari kawasan ke satu kawasan sedikit sebanyak mendedahkan dan mengesahkan lagi strategi politik Anwar.

Ramai yang tentunya terfikir, adalah lebih baik Saifuddin membina dan memperkuatkan jentera PKR di Kedah daripada menyibuk dalam hal ehwal politik di negeri yang menang tanpa kehadiran beliau sebelum ini.

Apabila semua matlamat itu tercapai, maka perhimpunan "Blackout 505" itu pun akan terhenti dengan sendirinya.


AZIZUL RAHIM seorang aktivis dan pengamat politik nasional.