Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kejayaan tujuh pendaki generasi kedua Felda menawan puncak Gunung Everest pada 22 Mei lalu sebagai satu "transformasi mental dan rohani" organisasi tersebut.

NONE "Jika generasi pertama menebas rimba dengan tangan, kapak dan segala peralatan pada ketika itu, maka generasi kedua mencapai sejarah berlainan yang begitu istimewa.

"Ini kerana mereka lihat sempadan fikiran dan dimensi tak terbatas merentasi bukan sahaja sempadan Malaysia, bahkan merentasi dunia sampai ke puncak gunung tertinggi di dunia.

"Ini, bagi saya adalah transformasi bukan sahaja dari segi fizikal tetapi dari segi minda di mana kekuatan rohani dan mental kita membolehkan kita tidak terbatas untuk melihat apa yang di depan mata tetapi melangkau lebih jauh lagi," katanya.

Najib yang juga menteri kewangan berkata kejayaan itu mampu menggerakkan pembaharuan Felda secara menyeluruh.

"Inilah intipati kepada pembaharuan yang saya mahu lihat buat Felda secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penghargaan dan penyerahan insentif projek Everest Felda 2013 di Putrajaya pagi tadi.

Tujuh pendaki yang menawan Everest di bawah projek itu menerima RM50,000 setiap seorang manakala krew sokongan dan jurulatih menerima RM10,000 setiap seorang.