Pemuda Umno menyerahkan memorandum kepada kedutaan Indonesia di Malaysia hari ini untuk menyarankan republik itu mengambil langkah segera dan tegas bagi menangani isu jerebu akibat pembakaran hutannnya.

"PPUM (Pergerakan Pemuda Umno Malaysia) berpendapat kerajaan Republik Indonesia perlu bertindak tegas dalam hal ini, demi semangat kejiranan, toleransi dan kerjasama di antara negara-negara rantau Asia Tenggara," kata ketuanya Khairy Jamaluddin.

NONE

Dalam kenyataannya hari ini, Khairy juga mengingatkan kesediaan Malaysia membantu negara seberang itu dalam menyelesaikan masalah jerebu di rantau ini.

Menurut Khairy, Pergerakan itu juga akan mengagihkan topeng muka secara percuma dan mengadakan majlis solat istisqa (solat memohon hujan) di Putra World Trade Centre di Kuala Lumpur esok.

"PPUM berdoa dan berharap agar tahap IPU akan menunjukkan tren penurunan dalam masa terdekat ini, agar kita dapat kembali kepada persekitaran yang sihat dan selamat demi kemakmuran bersama," katanya.

Sementara itu, kandungan memorandum itu antaranya menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak proaktif dan lemah Indonesia sehingga menyebabkan kebakaran terbuka di Sumatera merebak.

Memorandum itu turut menggesa Indonesia memandang serius, mengambil tindakan komprehensif bagi mengawal pembakaran hutan dan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang terlibat.

"Meminta agar kerajaan Indonesia mengesahkan Perjanjian Asean mengenai pencemaran jerebu merentasi sempadan yang berkuatkuasa pada tahun 2003," kata memorandum itu lagi.