PT Minamas Gemilang, sebuah anak syarikat Sime Darby Plantation, menyeru semua pemegang berkepentingan untuk memulakan dialog membina bagi mencari penyelesaian berkekalan bagi masalah jerebu.

Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Datuk Franki Anthony Dass berkata pemegang berkepentingan harus mencari jalan untuk menangani apa yang telah menjadi satu masalah tahunan dan memberi implikasi besar kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat.

"Bagi pihak kami, PT Minamas bersedia untuk membantu dan menyertai dalam mana-mana perbincangan membina mengenai isu ini.

"Masyarakat tempatan, kumpulan masyarakat sivil, ahli akademik dan syarikat yang beroperasi di kawasan terjejas harus menawarkan bantuan teknikal dan sokongan kepada kerajaan Indonesia dalam menangani punca kepada masalah ini," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Franki berkata PT Minamas telah menjalankan program kesedaran untuk masyarakat tempatan mengenai kesan negatif daripada aktiviti pembakaran di kawasan-kawasan tanah gambut.

PT Minamas adalah dianggap sebagai salah satu pengusaha terbesar dalam industri minyak sawit di Indonesia dengan menjalankan operasi di wilayah Riau.

"Di Riau, pegawai-pegawai kami dan pasukan pemadam kebakaran sedang membantu pihak berkuasa tempatan dan masyarakat untuk mengesan dan memadamkan kebakaran," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata untuk jangka masa panjang, suatu penyelesaian berkekalan yang tidak menjejaskan hak masyarakat setempat dan kaedah pertanian tradisional perlu dicari.

- Bernama