Fenomena jerebu yang melanda seluruh negara hari ini semakin berkurangan meskipun kawasan Bukit Rambai di Melaka antara 12 kawasan yang mencatatkan peningkatan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) tetapi masih pada tahap sederhana setakat 12 tengah hari ini.
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui laman webnya, Bukit Rambai merekodkan bacaan 83 berbanding 77 pada 6 pagi.
Sementara itu, 11 kawasan lain yang merekodkan peningkatan paras IPU sederhana ialah Kota Tinggi (78), Larkin Lama (66), Muar (53), Pasir Gudang (70) di Johor; Bandaraya Melaka (63) di Melaka; Port Dickson (59), Seremban (63) di Negeri Sembilan; Banting (67), Petaling Jaya (51) di Selangor; Batu Muda (51) di KL dan Putrajaya (55).
Sebanyak 31 daripada keseluruhan 52 kawasan yang dipantau mencatatkan bacaan IPU baik antaranya Alor Setar (38) di Alor Setar; Kota Baharu (34) di Kelantan; Taiping (28), Tanjung Malim (38) di Perak; Keningau (35) di Sabah; Sarikei (30) di Sarawak dan Paka (34) di Terengganu.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.
- Bernama
