Gurdwara juga tentang RUU berkaitan tukar agama
Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) turut menyokong gesaan supaya kerajaan menarik balik Seksyen 107(b) Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan hanya seorang ibu atau bapa mengislamkan anak mereka.
"MGC mahu menegaskan, penukaran agama anak secara unilateral (sebelah pihak) oleh seorang ibu atau bapa bukan hanya bertentangan dengan perlembagaan tetapi juga salah secara moral dan menyalahi nurani manusia serta keadilan asasi," kata Presiden MGC Jagir Singh.
Dalam kenyataannya semalam, MGC berkata, mereka juga menentang seksyen 51(3)(b)(xi) dalam rang undang-undang sama yang membenarkan Mahkamah Syariah menentukan sama ada seseorang itu Islam atau bukan Islam.
"Kuasa untuk memutuskan agama seseorang sentiasa bersama Mahkamah Tinggi sivil dan hak berkaitan pentafsiran peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berada pada Mahkamah Tinggi.
"Oleh itu, apabila terdapat pertelingkahan berhubung penukaran agama, ia mesti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sivil. Pindaan yang dicadangkan itu bertentangan dengan perlembagaan," katanya.
Sebelum ini, rasa tidak senang terhadap pembentangan rang undang-undang itu di Parlimen minggu lalu turut dinyatakan oleh kumpulan agama bukan Islam lain serta dua komponen utama BN - MCA dan MIC.

