Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bertitah umat Islam, terutama pemimpin muda, mampu memperoleh kekuatan menerusi perpaduan dalam kepelbagaian sekali gus mencipta peluang bagi pembangunan dan kemajuan.

Sultan Ahmad, yang merupakan Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), bertitah pemimpin belia adalah pemimpin masa depan yang diharap mengabdikan diri mereka bagi menangani cabaran yang dihadapi ummah di semua peringkat.

"Anda adalah pendukung sebenar perpaduan, kehormatan, kestabilan, keamanan dan kemakmuran menerusi keazaman dan kesabaran anda melakukan yang terbaik untuk negara, ummah dan dunia, secara amnya.

"Perhimpunan pemimpin dunia dari Pertubuhan Kerjasama Islam OIC di UIA memberi isyarat bahawa terdapat perpaduan dalam kepelbagaian ummah," titah baginda ketika merasmikan Sidang Kemuncak Antarabangsa Model Global Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ketiga, yang merupakan satu program latihan hubungan antarabangsa, di Kuala Lumpur semalam.

Program anjuran UIA itu bertema 'Perspektif Baharu bagi Demokrasi: Kepelbagaian, Toleransi dan Hormat'.

Turut hadir Presiden UIA Tan Sri Dr Rais Yatim, Rektor UIA Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin, Timbalan Menteri Keluarga dan Dasar Sosial Republik Turki Profesor Askin Asan serta Ketua Jemaah Persidangan Forum Belia Islam bagi Dialog dan Kerjasama (ICYF-DC) Elmaddin Mehdiyev.

Sultan Ahmad Shah juga bertitah pemimpin belia yang datang dari lebih 40 negara anggota OIC akan mewujudkan momentum positif untuk lebih saling menghormati selain pertukaran idea dan pendapat.

"Dan hendaklah ada kesefahaman serta kerjasama di antara universiti dan pemimpin belia kita dari seluruh dunia demi kebaikan ummah," titah baginda.

Memandangkan UIA dikenali kerana sokongannya terhadap pendidikan untuk ummah, Sultan Ahmad Shah bertitah sejak penubuhannya, universiti itu melahirkan lebih 60,000 graduan, dan ramai antara mereka menjadi pemimpin serta ulama cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan negara dan dunia.

"Mereka mempromosi idea kemanusiaan, rasa hormat, toleransi dan pembangunan komuniti dunia selain memperjuang perpaduan serta kemakmuran ummah dan dunia," katanya.

Sultan Ahmad Shah turut melancarkan Pusat Debat dan Pidato Dunia UIA.

- Bernama