Sukar nafas, cekikan punca kematian 3 beranak
Bedah siasat ke atas mayat seorang suri rumah dan dua anaknya, yang ditemui dibunuh di rumah mereka di Taman Perumahan Pulau Li Hua baru-baru ini, dijalankan di Hospital Sibu semalam.
Bedah siasat itu dilakukan Dr Jamil Dolkadir, Dr Naomi Chieng Hie Ming dan Dr Hwang Ing Siong bersama beberapa pembantu perubatan.
Jurucakap polis berkata abang suri rumah berkenaan, Ling Tong Ying, mengesahkan identiti Ling Yung Ming, 40, serta dua anaknya, Christine Tiang Soon Ai, 14, dan Victor Tiang Soon Sheng, 2.
Hasil bedah siasat mendapati Ling mati akibat asfiksia atau sesak nafas dan terdapat kecederaan fizikal pada sebelah kiri kepala dan mukanya, Christine pula meninggal dunia disebabkan cekikan di leher manakala adik lelakinya sesak nafas serta kecederaan di kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Superintenden Jayadi Sebli mengesahkan bedah siasat itu selesai pada 1.45 tengah hari dan berkata beliau masih menunggu laporan penuh daripada doktor berkenaan.
Pembunuhan kejam ketiga-tiga mangsa diketahui pukul 10 pagi pada 5 Julai di rumah mereka.
Anggota keluarga terdekat mangsa yang berusia 43 tahun dan bekerja sebagai kontraktor, ditahan ketika berehat dalam sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Bintulu pada petang hari kejadian, bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati suspek didakwa merancang membunuh mangsa dengan gas ketika mereka tidur.
Seorang anak lelaki mangsa berusia 17 tahun, Tiang Soon Tai, yang tidur di bilik berasingan, berjaya melarikan diri ke rumah seorang jiran selepas mendapati ibu dan dua adiknya mati.
Dia kemudian memberitahu polis bahawa suspek menanggung hutang berjumlah kira-kira RM3.5 juta.
Suspek kini ditahan reman tujuh hari.
- Bernama

