Exco marah setiausaha agung dalam acara TI-M
Krisis kepimpinan dalam badan pemantau rasuah Transparency-International Malaysia memuncak hari ini apabila seorang anggota exconya Mejar (B) Rozni Hashim memarahi setiausaha agungnya Josie Fernandez dalam satu majlis yang disaksikan para wartawan.
"Sepanjang pengetahuan saya, setiausaha agung yang sah ialah KM Loi (Lo Kheng Min). Untuk hari ini, itulah perkara yang disahkan presiden dan exco, janganlah memperburukkan lagi keadaan untuk TI-M,” kata Rozni.
"Ini adalah acara TI-M untuk (hasil tinjauan) 'Global Corruption Barometer'. Saya malu bila dengan Josie buat begini,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila melihat Josie bercakap kepada wartawan selepas presiden TI-M Akbhar Satar membentangkan hasil tinjauan.
Rozni kemudiannya menyatakan kepada kira-kira 15 orang para wartawan yang hadir, bahawa mereka mendengar kenyataan daripada individu yang tidak sepatutnya memberi kenyataan.
“Di mana KM Loi?,” katanya.
Josie kemudiannya berkata beliau tidak mahu berdebat mengenai perkara itu.
Rozni bagaimanapun terus berteriak memanggil nama Loi, yang dianggap sebagai setiausaha agung baru oleh anggota exco.
Loi (left) kemudiannya dilihat memasuki bilik sidang media tersebut dengan tergesa-gesa di ibu pejabat TI-M di Petaling Jaya untuk bercakap kepada wartawan dan Rozni pula beredar.
Kekeliruan mengenai status Joise itu timbul apabila bekas presidennya Datuk Paul Low meletak jawatan untuk mengisi jawatan menteri di jabatan perdana menteri.
Anggota exco itu kemudiannya melantik barisan pemimpin baru pada 24 Mei.
Josie, yang tewas dalam pemilihan untuk jawatan presiden, memberitahu barisan exco bahawa beliau akan meletak jawatan dalam tempoh dua minggu, dengan alasan tidak berpuas hati dengan proses pemilihan.
Barisan exco kemudiannya melantik Loi untuk mengganti kedudukan Josie sebagai setiausaha agung.

