Angka 16:16 dan sentimen Kelantan di bawah PAS menjadi taruhan kempen PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahari Mamat berkata parti itu akan menggembleng tenaga bagi merampas Kuala Besut dan menjadikan agihan kerusi di negeri itu sama rata - 16 BN, 16 Pakatan Rakyat.
"Keinginan rakyat seluruh Malaysia adalah untuk melihat 16:16 menjadi sejarah. Kita kena gembleng tenaga untuk melihat ini menjadi tunggak perubahan," kata timbalan pengarah pilihan raya kecil Kuala Besut itu.
Mengulas lanjut, Saiful yakin faktor Besut yang terletak bersempadan dengan Kelantan dan juga akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh PAS dalam kempen mereka.
Menurutnya, penduduk Besut dapat melihat kesejahteraan hidup rakyat Kelantan di bawah pentadbiran PAS Kelantan selama ini.
Ia juga akan turut dibantu sentimen kebanyakan orang di Besut yang menganggap diri mereka sebagai orang Kelantan walaupun menetap di daerah dalam negeri Terengganu.
"Jadi kalau orang Kelantan boleh pilih PAS, kenapa tidak orang di Besut?," kata ADUN Paka itu.
DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi dan selepas pilihan raya umum lalu BN menguasai 17 kerusi dan Pakatan mewakili 15 kerusi.
DUN Kuala Besut kosong ekoran kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
BN memilih anak jati Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera awam, sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil itu.
PAS pula mempertaruhkan Azlan Yusof, seorang kontraktor dan saudagar kayu sebagai calonnya.
"Beliau merupakan calon tempatan dan sudah lama bergelumang dengan denyut nadi rakyat.
"Dia (calon BN) pula adalah orang muda yang kurang dikenali, bekerja sebagai jurutera di Putrajaya dan dilihat sebagai calon elitis," kata Saiful.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam pula dilaporkan mahu seluruh kepimpinan BN supaya tidak mengandaikan pengundi akan terus memberikan kemenangan kepada BN di Kuala Besut dalam pilihan raya kecil tersebut, seperti dalam pilihan raya umum lalu (PRU) lalu.
1. K Besut: Jurutera lwn ahli perniagaan
2. Husam: Idris angkuh minta PAS jangan bertanding
3. SPR: Pengundi perlu celup jari dalam dakwat
4. Husam ketuai PAS gempur Kuala Besut
5. PAS: BN takut kejutan PAS di Kuala Besut
6. Umno: Kami akan menang majoriti 4,000
