LGE: S'jaya syor IPCMC dipengerusi bekas CJ
DAP mempersoalkan apakah munsabahnya bagi menteri dalam negeri mengatakan bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat cadangan yang bertentangan dengan Perlembagaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Sedangkan, tegas Setiausaha DAP, Lim Guan Eng, pengerusi
suruhanjaya siasatan diraja itu sendiri adalah Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah (kiri) yang merupakan ketua hakim negara kesembilan.
"Ini adalah pertama kali sejak cadangan tersebut dibuat pada 2005, IPCMC diisytihar tidak berperlembagaan oleh Kerajaan Persekutuan BN, satu alasan yang amat lemah untuk menolak penubuhannya.
"Tuduhan liar (Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi) adalah satu penghinaan kepada reputasi hakim tertinggi di Malaysia serta mempersoalkan kemahiran asas undang-undangnya kerana membuat cadangan yang bertentangan dengan Perlembagaan," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata, Ahmad Zahid bukanlah seorang peguam dan beliau sepatutnya meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memajukan hujah-hujah perundangan tentang bagaimana penubuhan IPCMC itu bertentangan dengan Perlembagaan.
"Sekiranya Zahid gagal membuktikan tuduhannya, beliau patut memohon maaf kepada Tun Mohamed Dzaiddin kerana menghina kepakaran undang-undang beliau.
"Tuduhan liar seperti yang dibuat menteri dalam negeri demi
menegakkan benang yang basah serta untuk mempertahankan sesuatu yang tidak dapat dipertahankan apabila berhadapan dengan bukti-bukti dan fakta jelas, adalah pendekatan yang digunapakai kerajaan persekutuan BN sejak sekian lama," tambah Lim.
Semalam, Zahid (kanan) memberitahu Parlimen bahawa IPCMC tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan adalah bertentangan dengan konsep keadilan.

