6 pejuang hak asasi menang kes saman k'jaan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa penangkapan dan penahanan lima peguam dan aktivis itu sewaktu perarakan Hari Hak Asasi Manusia enam tahun lalu adalah salah di sisi undang-undang.
Berikutan itu, mahkamah memberi ganti rugi RM10,000 setiap seorang kepada Sivarasa Rasiah, N Surendran, Latheefa Beebi Koya, Eric Paulsen, Amer Hamzah Arshad dan aktivis Johny Andu @ Abu Bakar Adnan.
Hakim Datuk John Louis O'hara juga memerintahkan para defendan membayar sejumlah RM60,000 sebagai kos kepada plaintif.
Pada 8 Disember 2010, mereka memfailkan saman sivil terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika itu Supt Che Hamzah Che Ismail, Ketua Polis Negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung penangkapan, penahanan dan pendakwaan ke atas mereka.
Semasa membenarkan tuntutan mereka, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'hara memutuskan penangkapan dan penahanan oleh pihak defendan adalah salah di sisi undang-undang.
O'hara berkata beliau telah berpeluang menonton video dan melihat gambar-gambar yang dirakamkan mengenai apa yang berlaku semasa insiden itu.

