NGO: Tarik balik sokongan gereja guna kalimah 'Allah'
Presiden NGO pro-Melayu JATI Datuk Hasan Ali berkata permohonan maaf yang disuarakan oleh Joseph Marino atas kenyataan berhubung penggunaan kalimah 'Allah' tidak memadai untuk memadamkan kemarahan orang Islam.
Hasan berkata, wakil Vatican ke Malaysia itu juga perlu menarik balik kenyataan yang menyokong penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian itu.
“Kami ingin menegaskan buat kesekian kalinya bahawa Duta Vatican City itu perlu menarik balik kenyataan yang telah dikeluarkannya yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di Negara ini.
“Pada masa yang sama beliau perlu berjanji untuk tidak akan mengulangi perkara yang sama pada masa hadapan,” kata Hasan dalam satu kenyataan.
Tambahnya, JATI bersama beberapa NGO lain akan menyerahkan nota bantahan berhubung pendirian berkenaan pada Jumaat ini di pejabat kedutaan Vatican City.
Marino semalam memohon maaf atas salah faham yang timbul ekoran kenyataannya dalam isu penggunaan kalimah tersebut.
Kedutaan Vatican hari ini menyebut, komen berkenaan tidak pernah dianggap sebagai cubaan untuk menceroboh hal ehwal dalaman negara ini.
Beliau turut menyampaikan kenyataan tersebut melalui Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman dalam satu pertemuan di Wisma Putra petang ini.

