Umno dengan kerjasama sekumpulan pakar agama akan menerangkan maksud negara Islam kepada orang ramai bagi menangani "anasir-anasir negatif" parti pembangkang khususnya PAS.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Hamid Othman mendedahkan pakar berkenaan telah memberikan penerangan sejak tiga bulan lepas.

Semalam akhbar melaporkan seramai 20 pakar itu telah selesai memberikan penerangan kepada badan perhubungan Umno negeri-negeri, antaranya Selangor, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Terengganu.

"(Jumlah) 20 ulama tidak cukup," kata Abdul Hamid, ketika sidang media selepas majlis pecah tanah projek pembinaan hospital dan hotel Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) di Jalan Tun Razak hari ini.

"Kita sedang mengusahakan (menambah bilangan itu)," katanya, termasuk cadangan menjemput ulama dari luar negara dan pelajar Malaysia untuk tujuan itu.

Hari ini, Ketua Penerangan Umno, Datuk Mustapa Mohamed, dilaporkan berkata tokoh agama juga akan memberikan ceramah umum, sesi dialog dan kursus kepada orang ramai.

Mustapa dilaporkan berkata, kursus dan ceramah itu akan dianjurkan pada setiap minggu bagi menangkis "dakyah PAS."

Sementara itu, dalam ucapan perasmian majlis itu, Hamid turut mengulas usaha-usaha tertentu untuk mengelirukan pembangunan yang disediakan kerajaan.

"Soal mengurus (infrastruktur dikatakan) bukan menjadi tuntutan agama (bagi pihak tertentu)," katanya, sebaliknya mereka didakwa mengutamakan hal-hal akhirat.

Dalam contohnya, beliau mendakwa pihak itu tidak mengutamakan pembinaan empangan air walaupun insfrastruktur itu memberikan kesejahteraan kepada penduduk.

Abdul Hamid mengajak umat Islam mengambil pengajaran daripada kejatuhan kerajaan Islam Othmaniah di Turki apabila pembangunan disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam yang menyebabkan rakyat negara itu terpaksa berhijrah ke negara luar.

"Adakah kita mahu perkara yang sama terjadi (di negara ini)," katanya.

Apabila ditanya Rang Undang-undang Pemulihan Akidah yang masih di peringkat kajian, Abdul Hamid berkata, kerajaan tidak memberikan tempoh masa yang khusus untuk melaksanakan akta itu bagi menangani kes murtad.

Beliau menjelaskan kajian dibuat bagi melihat kesan terhadap masyarakat sama ada orang Islam atau bukan Islam di negara ini.