Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini meluluskan penubuhan beberapa jawatankuasa terpilih yang akan bertindak sebagai ‘check and balance' terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Antaranya Jawatankuasa Terpilih Pembasmian Kemiskinan Selangor ditubuhkan julung kalinya untuk mengkaji keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang telah dan sedang dilaksanakan bawah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sejak tahun 2008.

Hasil kajiannya diharapkan dapat menyumbang kepada usaha menangani isu kemiskinan di Selangor terutamanya kemiskinan tegar dengan lebih berkesan.

Institut Rakyat merakamkan tahniah kepada kerajaan negeri atas langkah yang baik dan progresif ini.

Namun ia tidak seharusnya berhenti pada tahap mengkaji keberkesanan program dari segi peningkatan pendapatan, tetapi selanjutnya harus mengkaji bagaimana sesebuah isi rumah boleh 'graduate' atau lulus dalam program yang disertai; dan bukannya terperangkap dalam stigma berkaitan kemiskinan ataupun sindrom kebergantungan berlebihan.

Artikel ini mencadangkan agar kajian yang bakal dijalankan oleh Jawatankuasa Terpilih Pembasmian Kemiskinan Selangor bukan setakat mengkaji hasil kuantitatif dari segi peningkatan pendapatan, malah aspek lain yang turut menyumbang kepada ‘graduation': akses pendidikan secara umum dan peluang melanjutkan pelajaran; kedudukan dan hak wanita serta taraf kesihatan.

Institut Rakyat ingin menegaskan bahawa kajian kemiskinan yang hanya bersandarkan peningkatan pendapatan semata-mata tidak holistik atau mencerminkan gambaran sebenar kejayaan sesuatu program membasmi kemiskinan.

Meskipun pendapatan peserta program meningkat, ini tidak semestinya bermakna isi rumah tersebut bebas sepenuhnya daripada belenggu kemiskinan.

PGK ditetapkan EPU tidak realistik

Justeru, Institut Rakyat ingin mencadangkan agar kajian kemiskinan yang bakal dijalankan oleh jawatankuasa terpilih itu menggabungkan pendekatan kuantitatif dan kualitatif dengan penyertaan lebih menyeluruh.

Mengikut Unit Perancang Ekonomi (EPU), pendapatan garis kemiskinan (PGK) pada tahun 2009 bagi setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia sebanyak RM763 untuk dianggap ‘miskin'; manakala di Sarawak RM912 dan di Sabah RM1,048.

Dengan PGK ini, kadar kemiskinan di Selangor adalah 0.7 peratus dan kadar kemiskinan tegar sebanyak 0.1 peratus.

Namun, setelah mendapati PGK yang ditetapkan oleh EPU adalah tidak realistik, kerajaan negeri mengambil keputusan menggunakan RM1,500 sebagai satu paras baharu.

Dengan PGK baharu ini, kini dianggarkan 30 peratus rakyat Selangor hidup bawah garis kemiskinan. Perbezaan yang amat ketara antara PGK yang ditetapkan oleh EPU dengan kerajaan Selangor.

Ini seterusnya memberi kesan kepada jumlah peruntukan kerajaan untuk program membasmi kemiskinan dan kumpulan sasaran yang diutamakan.

Beberapa program membasmi kemiskinan kerajaan negeri yang selari dengan dasar MES, memperlihatkan pencapaian program dari segi bilangan penerima ( lihat carta bawah ).

NONE

Aset penting isi rumah

Namun, persoalan sama ada bantuan yang diterima dapat membantu penerima atau isi rumah penerima keluar dari kancah kemiskinan masih tidak terjawab.

Malah, oleh kerana program ini direka dalam bentuk ‘self-targeted' dan bukannya dengan pendekatan ‘universalism', maka akan wujud golongan yang tercicir.

Maka, persoalan seterusnya yang wajar untuk ditanya: Bagaimanakah nasib mereka yang memohon untuk menyertai program tersebut tapi tidak diluluskan?

Selain bantuan kerajaan negeri, pada tahun 2009, sebanyak 0.4 peratus atau 25,221 rakyat Selangor menerima bantuan kanak-kanak, bantuan orang tua, bantuan am, geran pelancaran dan

elaun pekerja Orang Kurang Upaya bawah program kebajikan kerajaan persekutuan.

Dianggarkan setiap penerima menerima sekitar RM200-RM300 sebulan.

Maka, cabaran bagi kajian yang bakal dijalankan, kemungkinan wujud pertindihan bantuan diterima oleh penerima yang sudah tentu akan memberi impak ke atas peningkatan pendapatan dan beberapa aspek lain.

Bagaimanapun, bagi memastikan kajian yang bakal dijalankan tidak sekadar fokus pada aspek eningkatan pendapatan di kalangan penerima bantuan, Institut Rakyat mencadangkan agar menjalankan penilaian aspek lain yang dijangka turut menerima kesan daripada peningkatan pendapatan sesebuah isi rumah: peluang pendidikan kanak-kanak, kedudukan dan hak wanita serta taraf kesihatan.

Ketiga-tiga aspek ini merupakan ‘aset' yang penting bagi sesebuah isi rumah untuk bebas kemiskinan

(graduation) atau keluar daripada perangkap kemiskinan (poverty trap) dalam jangka masa panjang.

Hutang isi rumah, dominasi kuasa ketua isi rumah, ketidaksaksamaan gender, jarak dari kemudahan asas seperti sekolah dan klinik antara faktor yang mungkin menyebabkan peningkatan pendapatan hasil daripada bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri tidak menyumbang kepada penambahbaikan ketiga-tiga aspek ini.

Contoh ekstrim

Berikut merupakan beberapa kes contoh untuk ditinjau secara kasar:

Kes 1

Seorang ibu tunggal berumur 27 tahun yang menerima bantuan b lueprint kemiskinan dibekalkan sebuah mesin membuat air batu campur (ABC).

Beliau mendapat peningkatan pendapatan hasil jualan ABC setiap hari di depan rumah beliau. Malangnya, pendapatan yang diperoleh terpaksa diserahkan kepada bapa saudaranya yang tidak mempunyai kerja tetap dan dibelanjakan ke atas rokok dan minuman keras.

Padahal, pendapatan itu boleh digunakan untuk menampung keperluan persekolahan anak-anak dan perubatan orang tua.

Kes 2

Seorang lelaki yang mempunyai dua orang anak bersekolah menerima bantuan SkimSEL sebanyak RM3000 bagi memulakan perniagaan menanam bunga melur.

Pendapatan beliau meningkat hasil jualan bunga melur hanya selepas tiga bulan.

Oleh kerana jarak sekolah dari rumah lebih 9km, beliau hanya mampu menghantar salah seorang anak ke sekolah manakala seorang lagi terpaksa berhenti sekolah untuk membantu perniagaan ayahnya.

Sesungguhnya, kedua-dua kes contoh di atas mungkin dianggap ekstrim bagi segelintir pihak, namun

barangkali ia realiti kehidupan harian bagi golongan miskin yang sentiasa terpaksa membuat pilihan sukar dalam penggunaan pendapatan yang nyata terbatas oleh pelbagai faktor.

Kaum wanita yang mendapat bantuan kerajaan kerana kuota ibu tunggal tidak mendapat hak yang sewajarnya ke atas pendapatan yang diperoleh disebabkan dominasi kuasa kaum lelaki; ataupun lelaki miskin yang mendapat bantuan kerajaan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan tidak dapat menyekolahkan anaknya kerana jarak sekolah jauh yang sudah tentu akan menambahkan beban.

Maka, pendekatan kualitatif dan penyertaan dicadangkan untuk diguna pakai dalam kajian agar tidak terbatas pada tahap mengkaji keberkesanan program dari segi peningkatan pendapatan.

Sebaliknya, kajian mengenai bagaimana seseorang penerima menggunakan pendapatannya agar mencapai ‘graduation' daripada program yang disertai akan membantu pembuat dasar lebih mendekati realiti golongan miskin dan memahami kekangan yang dihadapi, baik dari segi dasar ataupun norma masyarakat.

Kesimpulannya, pemahaman mendalam mengenai realiti golongan miskin akan menyumbang kepada

pembentukan polisi dan pelaksanaan program yang prorakyat miskin dengan lebih efisien.

Sebaliknya, program membasmi kemiskinan yang hanya bersandarkan pendapatan garis kemiskinan, baik RM720 ataupun RM1,500, akan mewujudkan isu stigma dan kebergantungan keterlaluan di kalangan golongan miskin.


GINIE LIM penolong pengarah kajian Institut Rakyat - badan penyelidikan yang didorong oleh keperluan dasar berpandukan kefahaman mendalam pembangunan manusia, keadilan sosial, hak-hak asasi dan peluang sama rata.

 

ADS