PMINT didituntut perbaharui perjanjian sewaan tanah
Sekumpulan pemegang pajakan kecil tanah ladang kelapa sawit di Kemaman, Terengganu mendesak agar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memperbaharui perjanjian penyewaan tanah pajakan yang tamat pada tahun 2010.
Seorang pemegang pajakan kecil tanah itu, S Sivasegaran, 81, berkata, menurut perjanjian penyewaan tanah yang dibuat pada 1965 itu, pajakan kecil tanah tersebut perlu diperbaharui selepas 45 tahun.
Bagaimanapun, menurut Sivasegaran, sejak perjanjian itu tamat, sehingga kini tiada jawapan yang diberikan oleh pihak PMINT berhubung pembaharuan perjanjian pajakan yang melibatkan 3,000 pemegang pajakan tersebut.
Katanya, walaupun perkara itu telah diadukan kepada Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri, PMINT masih lagi berdiam diri.
"Dalam perjanjian asal pajakan ini perlu diperbaharui bagi menambah tempoh lagi 45 tahun, selepas perjanjian tamat. Menurut perjanjian juga, terpulang kepada kami sama ada nak perbaharui atau tidak.
"Kami buat perjanjian ini pada tahun 1965. Dan sepatutnya perlu diperbaharui. Kita sudah hantar surat, telefon kepada PMINT, tetapi sampai sekarang tak ada jawapan. Jadi kita tuntut supaya PMINT perbaharui perjanjian ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini bersama tiga pemegang pajakan kecil tanah yang lain.
Turut hadir bersama ialah peguam kepada pemegang pajakan kecil tanah, Harris Abdullah.
Tindakan undang-undang lepas raya
Sementara itu, menurut Harris, perjanjian penyewaan tanah ladang kelapa sawit seluas 33,500 ekar bawah jagaan PMINT itu perlu diperbaharui seperti yang termaktub di dalam perjanjian.
Menurutnya, sekiranya PMINT yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said itu masih tidak memberikan sebarang jawapan, pihaknya akan mula memfailkan saman terhadap perbadanan itu.
"Mereka perlu perbaharui sebab ini ada dalam perjanjian. Kalau tidak, kita akan ambil tindakan undang-undang selepas Hari Raya nanti," katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respon PMINT berhubung perkara itu.

